#PRU14 : Naga Bakal Bertemu Naga Di Parlimen Stampin


Strategi politik Parti Tindakan Demokratik (DAP) dalam Pilihan Raya Umuk Ke-14 kini “terdedah” apabila mereka mahu “memancung” kepala naga Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).
Ya, seperti pilihan raya-pilihan raya lain, mereka berazam untuk membunuh “maruah politik” pemimpin SUPP, dan dalam konteks ini, Profesor Datuk Dr Sim Kui Hian.
Bagi melaksanakan misi “menang atau mati” ini, Dr Sim akan diburu habis-habisan.
“Ketika ini DAP sedang mengintai di mana Dr Sim akan bertanding.
“Jika beliau bertanding di kerusi Stampin, Pengerusi DAP Sarawak itu akan meninggalkan kubu kuatnya di Parlimen Kuching untuk bertanding di situ.
“Fokusnya adalah untuk mengulangi sejarah yang pernah berlaku kepada mendiang Tan Sri Dr Wong Soon Kai dan Tan Sri George Chan yang tersungkur ketika berada di persada parti.
“Chieng Jen percaya, apabila berjaya menumpaskan Dr Sim, parti SUPP akan kembali goyah, tatkala ketika ini ia kelihatan semakin kukuh dan kuat.
Kata sumber itu lagi, apabila Chieng Jen turun di situ, darjah kemenangan parti itu akan meningkat.
“Sekurang-kurangnya ada pemberat dan mampu menang berbanding Dr Kelvin Yii, memandangkan dua kerusi DUN di situ, Batu Kawa dan Batu Kitang banyak pemilih Bumiputera.
“Dr Kelvin Yii merupakan muka baharu, justeru kehadiran Chieng Jen sekurang-kurangnya mampu memberi saingan kepada mana-mana calon BN yang diturunkan.
Di atas kertas, BN akan mempertaruh di antara Dr Sim dan Lo Khere Chiang.
“Dan jika ini berlaku, kawasan ini akan berada dalam senarai ‘panas membara’.
Pada PRN Sarawak 2016, dua calon Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Profesor Datuk Dr Sim Kui Hian dan Lo Khere Chiang menang selesa di kedua-dua kerusi tersebut.
Khere Chiang di kerusi Dun Batu Kitang mencatat 6,466 undi untuk ‘memanggang’ ayam sabung Chieng Jen, Abdul Aziz Isa yang sekadar mengutip 4,626 undi.
Dun Batu Kawa yang pernah menjadi kubu kuat DAP, menyaksikan Dr Sim menang dalam percubaan keduanya, apabila memperoleh 6,414 undi, untuk mengetepikan penyandang Christina Chiew yang memperoleh 4,329 undi.
Di kerusi Kota Sentosa, Chieng Jen menang 2,819 undi daripada Wilfred Yap.
Jika berdasarkan Daftar Pemilih 2016 yang menghimpunkan 55,107 pemilih berdaftar, DAP sekadar memperoleh 19,002 undi manakala BN diundi seramai 20,109 pengundi.
Pada 2013, Julian Tan memperoleh 41,663 undi untuk menewaskan penyandang, Datuk Dr Yong Khoon Seng yang sekadar membawa pulang 22,993 undi. Manakala Lina Soo yang bertanding atas tiket STAR, hanya memperoleh 239 undi.
Dengan perpindahan Chieng Jen ke Parlimen Stampin, Dr Kelvin Yii sudah meletakkan separuh kakinya di Dewan Rakyat.
Ini sesuai dengan pengorbanan pengamal perubatan ini yang menamatkan khidmatnya di hospital kerajaan untuk menjadi ahli politik sepenuh masa.
Yii, 32 tahun merupakan doktor perubatan dan kini sedang melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana undang-undang perubatan, selepas melengkapkan sarjana muda undang-undang.
Sebelum itu, bekas pelajar SMK St Joseph ini memperoleh ijazah kedoktorannya di Rusia dan menghabiskan masa sembilan tahun di sana, sebelum kembali untuk bertugas di Hospital Umum Sarawak.
Untuk rekod, ekoran persempadanan semula, Dun Batu Lintang yang dahulu berada di Parlimen Stampin telah ditukar ke Parlimen Bandar Kuching

Facebook Comment