#PRU14 : Jangan lagi senaraikan calon lemah bahasa Melayu


Gesaan kepada parti politik menjelang PRU-14 agar semua parti politik digesa supaya hanya menyenaraikan calon yang mampu menguasai bahasa Melayu dengan baik pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sesuai dengan status mereka sebagai suri teladan kepada rakyat berbilang kaum.

Lagi pun isu wakil rakyat yang lemah dalam bahasa kebangsaan ketika berbahas di Parlimen sering disuarakan beberapa tokoh bahasa dan budaya di negara ini.

Menurut bekas pensyarah bahasa Melayu Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu (IPGKBM), Dr. S. Raja Rajeswari, setiap parti yang bertanding perlu mengutamakan calon yang boleh menguasai bahasa Melayu memandangkan bahasa tersebut telah diangkat sebagai bahasa kebangsaan.

Menurut beliau, bukan sahaja boleh berbahasa Melayu, ahli Parlimen juga perlu bijak menggunakannya secara santun ketika mengambil bahagian dalam perdebatan di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Ahli Parlimen perlu menjadi suri teladan kepada semua rakyat.

“Maka sewajibnya mereka menggunakan bahasa Melayu yang tulen dan santun kerana bahasa boleh melambangkan keperibadian individu selain mencerminkan identiti kebangsaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau yang kini merupakan penulis sepenuh masa turut berpendapat ahli Parlimen perlu meluaskan pembacaan dan pergaulan dengan semua lapisan masyarakat untuk meningkatkan penguasaan bahasa Melayu mereka.

“Mereka juga perlu melazimkan penggunaan bahasa Melayu dalam perbualan harian.

“Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri S.K. Devamany dan Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan boleh dijadikan contoh ahli Parlimen yang fasih berbahasa Melayu,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE


Facebook Comment