PPBM bubar kerana pemimpin angkuh


Pembubaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) memang telah dijangka dan berpunca daripada keangkuhan pemimpin yang mengutamakan kepentingan diri sendiri.

Bekas Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Kamarul Azman Habibur Rahman menyifatkan ia seperti `Sudah terang lagi bersuluh’ kerana sejak awal lagi saya pernah menyatakan bahawa para pemimpin mengemudi bahtera yang akan karam. 


“Jelas keangkuhan para pemimpin yang mempunyai agenda peribadi gagal memahami apa sebenarnya yang dikehendaki oleh ahli,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.


Ahli PPBM, katanya, telah ditipu oleh para pemimpin yang mempunyai agenda tersendiri yang berlainan antara satu sama lain. 


“Ini menjadi bukti bahawa kami yang keluar parti dan mengkritik kepimpinan parti bukannya sampah. Tetapi sebaliknya para pemimpin telah mengotori perjuangan PPBM dengan kekotoran yang sangat buruk hingga membawa tenggelamnya PPBM ini,” tegas beliau.

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) hari ini mengesahkan pembubaran sementara PPBM menurut Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan 1966.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia Surayati Ibrahim ketika sidang akhbar mengenai isu Parti Pribumi Bersatu Malaysia hari ini berkata, PPBM telah dimaklumkan mengenai pembubaran tersebut hari ini.

“Surat itu berkait dengan kegagalan menyerahkan sepenuhnya dokumen seperti diperintahkan di dalam tempoh masa yang diberikan sebelum ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE


Facebook Comment