Polis edar lakaran wajah dua penembak Imam Palestin - Randau Sarawak

Breaking

Monday, April 23, 2018

Polis edar lakaran wajah dua penembak Imam Palestin


Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun hari ini mengedarkan lakaran wajah dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam pembunuhan imam warga Palestin, Dr. Fadi M. R. Albatsh di Medan Idaman, Setapak awal pagi kelmarin.

Menurut Mohamad Fuzi, lakaran wajah tersebut diperoleh daripada keterangan beberapa saksi yang tampil secara sukarela bagi membantu siasatan polis.

"Kedua-dua suspek merupakan lelaki berkulit putih dengan ketinggian kira-kira 180 sentimeter dan dipercayai berasal dari negara Eropah atau Asia Barat.

"Sewaktu kejadian, kedua-dua suspek yang berbadan tegap itu memakai jaket serta topi keledar berwarna gelap sambil membawa beg galas," katanya dalam satu sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini pagi tadi.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd. dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim.

Mohamad Fuzi turut mengedarkan gambar dua buah motosikal berkuasa tinggi model BMW GS dan Kawasaki Versys yang digunakan oleh kedua-dua suspek dalam kejadian tersebut.

Menurut Mohamad Fuzi lagi, pihaknya tidak dapat mengenal pasti keberadaan kedua-dua suspek buat masa ini dan telah meminta bantuan Jabatan Imigresen untuk membuat semakan serta mengawal laluan keluar masuk negara.

"Lakaran wajah kedua-dua suspek telah diedarkan ke semua laluan keluar masuk negara dan usaha menjejaki mereka sedang giat dijalankan," katanya. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment