Parlimen bubar : BN Sarawak sedia hadapi PRU-14

Barisan Nasional (BN) Sarawak berada dalam momentum yang cukup baik dan sudah bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14.

Ketua Menteri merangkap Pengerusi BN negeri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg berkata, senarai calon BN yang akan bertanding sudah berada di peringkat akhir proses pemilihan.

“Kita akan serahkan senarai calon kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN Pusat dalam masa terdekat untuk dimuktamadkan,” katanya .

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Institut Penyelidikan Sehati, Pelancaran Pusat Penyelidikan dan Sumber serta Seminar ‘One Belt One Road’ anjuran Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di Dewan Saa’ti di sini sebentar tadi.

Abang Johari bagaimanapun masih merahsiakan calon BN daripada komponen SUPP, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan juga Parti Demokratik Progresif (PDP) yang bakal diketengahkan nanti.

“Kita tunggu dan lihat siapa calon yang bakal diketengah atau digugurkan pada pilihan raya kali ini,” ujarnya.

Katanya, pilihan raya diadakan di negara ini dijalankan berlandaskan proses demokrasi.

Pada PRU 2013, BN negeri berjaya menguasai 25 daripada 31 kerusi Parlimen.

Namun, kerusi Bandar Kuching, Stampin, Sarikei, Lanang dan Sibu ditawan oleh DAP, manakala Miri dimenangi PKR. - UTUSAN ONLINE


Facebook Comment