Najib gempur Semporna dengan umum dua berita gembira - Randau Sarawak

Breaking

Monday, April 9, 2018

Najib gempur Semporna dengan umum dua berita gembira


Perdana Menteri kerajaan sementara, Datuk Seri Najib Razak, yang melakukan lawatan kerja pertamanya ke Semporna hari ini, terus menabur janji menjelang pilihan raya umum ke-14 yang mesti diadakan dalam tempoh 14 hari.

Dalam ucapan ketika melancarkan Pusat Pelancongan Antarabangsa Semporna, perdana menteri mengumumkan projek menaik taraf jalan raya sepanjang 18 kilometer dari bulatan simpang ke Kunak hingga ke Pekan Semporna daripada dua laluan kepada empat laluan.

Beliau turut mengumumkan pembinaan jambatan menghubungkan Pulau Bum-Bum dengan tanah besar Semporna.

"Ini adalah keprihatian Barisan Nasional (BN) kepada rakyat Semporna dan atas permintaan pemimpin di sini dan Ketua Menteri Sabah (Tan Sri Musa Aman)," katanya yang dipetik Bernama.

Pengerusi BN itu berkata pembinaan jambatan berkenaan akan menjadikan bumi Semporna berubah menjadi pusat pelancongan dan memberi manfaat kepada rakyat.

Justeru, beliau meminta rakyat Semporna terus memberikan sokongan kepada BN bagi membolehkan perubahan besar dilakukan kepada daerah ini.

Semporna adalah kubu kuat Parti Warisan Sabah (WARISAN) yang diterajui oleh bekas naib presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Najib turut menggunakan peluang pada ucapannya bagi membidas Shafie sebagai pemimpin yang tidak mengenang jasa serta mempunyai tabiat menikam dari belakang.

"Saya bagi peluang luar biasa kepada Shafie menjadi naib presiden (Umno) dan melantiknya menjadi menteri kemajuan luar bandar dan wilayah untuk membawa perubahan di kawasan luar bandar khususnya di Sabah.

"Minta dia bincang dengan Musa (Ketua Menteri Sabah) tetapi banyak nasihat saya dia tidak dengar.

“Saya kecewa dalam keadaan tertentu dia tikam saya dari belakang...pedih rasanya apabila sahabat karib berbuat demikian," kata Najib.

Beliau juga berkata rentetan sejarah penubuhan Umno membuktikan pemimpin parti itu sendiri tidak kuat kerana yang memberi kekuatan kepadanya adalah parti.

Terdahulu ketika berucap, Ketua Penerangan Umno Semporna Datuk Ramlee Marahaban menyentuh tentang keperluan pembinaan jambatan menghubungkan Pulau Bum-Bum dengan tanah besar Semporna yang sudah lama dinanti-nantikan oleh penduduk di pulau itu.

Katanya pembinaan jambatan tersebut juga bagi kemudahan penduduk di pulau itu dan merancakkan lagi pembangunan.

Dalam pada itu, Pemangku Ketua Umno Bahagian Semporna Datuk Nasir Sakaran pula dalam ucapannya menyatakan keperluan menambah laluan jalan raya dari simpang bulatan ke Kunak hingga ke Pekan Sempona itu bagi mengatasi kesesakan lalu lintas.

Pembinaan jambatan sepanjang 1.4 kilometer itu akan memberi manfaat kepada kira-kira 30,000 penduduk di Pulau Bum-Bum yang tinggal di 52 kampung.

Ia juga sejajar dengan pengisytiharan Pulau Bum-Bum sebagai daerah kecil yang turut diadakan pada majlis yang sama.

No comments:

Post a Comment