Mengundi dijangka awal Mei - Randau Sarawak

Breaking

Friday, April 6, 2018

Mengundi dijangka awal Mei

Penantian ini hampir berakhir. Momentum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) memasuki pusingan terakhir bulan ini, manakala besar kemungkinan hari mengundi sekitar awal Mei.

Bayangan untuk mengundi pada Mei semakin jelas. Parlimen mungkin dibubarkan seawal akhir minggu ini selepas sidang Dewan Rakyat yang sedang berlangsung, berakhir pada 5 April.

Sebaik Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan, pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari.

Mengikut amalan semasa, pilihan raya umum biasanya diadakan dalam tempoh 29 hari daripada pembubaran hingga hari mengundi.

Ini bermakna pengundian bagi PRU-14 akan diadakan dalam minggu pertama Mei, manakala keputusannya bakal diketahui beberapa jam selepas pengundian ditutup.

Kira-kira 14.8 juta rakyat layak mengundi pada pilihan raya kali ini.

Menjelang hari pengundian, Barisan Nasional (BN) memilih 7 April ini sebagai tarikh mengumumkan manifesto pilihan raya pada perhimpunan besar-besaran di Bukit Jalil, di sini, pada jam 8 malam.

Ia disusuli pengumuman manifesto BN yang hanya memberi tumpuan terhadap generasi muda dinamakan 'Tawaran Baharu Untuk Pengundi Muda' pada 10 April, seperti dinyatakan Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin, kelmarin.

Kira-kira 30,000 penyokong BN dijangka menghadiri acara pada 7 April itu yang dijadual bermula jam 8 malam dan akan disiarkan secara langsung di televisyen.

Mengikut tradisi, BN mengumumkan manifesto selepas tarikh pilihan raya diketahui.

Ini diikuti pengumuman calon yang diadakan lebih awal sebelum hari penamaan calon.

No comments:

Post a Comment