Masyarakat Batang Sadong mahu Nancy dikekalkan

Masyarakat dalam kawasan Parlimen Batang Sadong mahu Datuk Seri Nancy Shukri dikekalkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) di kawasan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya, Aidel Lariwoo berkata, kawasan Batang Sadong tersebut dilihat akan terus maju dan lebih membangun dibawah kepimpinan Nancy.

“Saya sendiri begitu senang untuk berbincang dan bekerjasama dengan beliau dalam merancang kemudahan awam untuk penduduk di Sadong Jaya.

“Landskap pembangunan di kawasan kita sudah banyak berubah malah hampir semua kampung mempunyai kemudahan yang lengkap seperti dewan, gelanggang futsal, surau serta jalan-jalan di setiap kampung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sumbangan mangsa banjir bersama bekas penyandang kerusi Parlimen Batang Sadong, Datuk Seri Nancy Shukri di sini hari ini.

Aidel menyerahkan sumbangan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berjumlah RM500 sekeluarga dan Pejabat Parlimen Batang Sadong yang menambah sumbangan berjumlah RM300 sekeluarga kepada 258 mangsa yang terjejas banjir pada Februari lalu.

Tambahnya, rakyat di kawasan itu amat gembira dengan pembangunan dicapai yang mana secara tidak langsung telah membuka banyak peluang ekonomi kepada penduduk Sadong Jaya.

“Jambatan Batang Sadong contohnya telah menjadi pembuka kepada pembinaan jambatan-jambatan lain seperti jambatan Batang Lupar dan jambatan Raso,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE


Facebook Comment