'BN lakukan lebih baik bersama mandat baharu'


PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak berjanji dan berikrar akan melakukan yang terbaik serta lebih baik daripada sebelumnya, jika kemenangan sekali lagi berpihak kepada Barisan Nasional (BN).

Perdana Menteri berkata, BN akan melakukan transformasi lebih besar, inklusif lagi komprehensif kepada rakyat serta negara bagi memastikan perjalanan transformasi tidak terhenti setakat di sini.

Katanya, dunia sudah berubah dan negara serta rakyatnya tidak boleh berundur ke belakang, sebaliknya mesti sama-sama meneruskan kejayaan transformasi inklusif negara ini menuju masa depan yang lebih cerah.

"Seandainya rakyat terus memberi mandat, memilih kerajaan BN sedia ada untuk kekal memerintah bagi tempoh lima tahun ke hadapan ini, maka insya-Allah, saya bersama pucuk pimpinan, sesungguhnya kami menjanjikan akan terus menyempurnakan tugas kita dengan lebih berkesan dan unggul.

"Semua ini demi mengangkat maruah dan martabat negara agar terjulang gagah sebagai 20 negara terbaik lagi terhebat di persada dunia menjelang TN50 (Tranformasi Nasional 2050).

"Lantaran itu, saya berikrar dan berjanji selaku ketua kerajaan bersama pucuk pimpinan bahawa kita akan membangunkan negara ini dari Perlis sampai ke Sarawak membawa ke Sabah, agar tidak ada satu pun kawasan atau rakyat yang akan ketinggalan, atas prinsip 'no one is left behind'!," katanya pada sidang media khas di Perdana Putra di sini, hari ini.

Perdana Menteri dan timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta pimpinan BN akan mula turun menjelajah di seluruh tanah air bagi memberi penerangan dan meyakinkan rakyat mengenai manifesto dan hala tuju negara.

Najib berkata, manifesto dirancang teliti agar BN diberi mandat untuk membentuk kerajaan yang kuat dan stabil, dengan majoriti yang kukuh.

"Jika rakyat dapat berfikir dengan akal waras dan bukan dengan emosi, kita minta semua menilai dengan sewajarnya terhadap banyak usaha kerajaan BN yang stabil, berpengalaman luas serta berasaskan 'track record' cemerlang sehingga ke persada dunia, sejak enam dekad lalu, terutama sekali sejak sembilan tahun lalu.

"Antara pelbagai usaha dan pencapaian cemerlang itu, kita berjaya memastikan keamanan dan keselamatan, keharmonian serta kestabilan dan kemakmuran negara tetap teguh terjamin lagi terpelihara.

"Kita juga berupaya meningkatkan kualiti kehidupan rakyat menjadi lebih bahagia dan sejahtera, malah kita juga mempunyai pelan rancangan masa depan yang sangat hebat lagi tersusun rapi.

"Atas keyakinan itu, saya ingin tegaskan, sepanjang tempoh separuh dekad akhir ini, kita bukan saja mampu 'deliver' dengan pelbagai pencapaian dan kejayaan, malah saya dengan beraninya mengatakan 'we have delivered and we will continue to deliver' (kami berjaya berkhidmat dan akan terus berkhidmat)," katanya.

Perdana Menteri juga berharap pilihan raya kali ini dapat dilangsungkan dengan baik, teratur, penuh hemah dan lancar sehingga tercapai matlamatnya, tanpa mengira apa juga fahaman atau lambang politik.


Facebook Comment