Kali pertama sejak 1969, 'roket' tiada di semenanjung


Roket merupakan salah satu daripada logo parti politik yang paling dikenali di Malaysia dan telah membuat penampilan dalam setiap kali pilihan raya sejak tahun 1969.

Bagaimanapun setiausaha agung DAP Lim Guan Eng mengesahkan bahawa parti itu tidak akan menggunakan logo berkenaan pada pilihan raya umum akan datang di Semenanjung Malaysia.

Semasa sidang akhbar di bangunan parlimen hari ini, beliau berkata DAP bersetuju untuk menggunakan logo bersama pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

Bagaimanapun, Lim berkata keputusan itu tidak akan melibatkan Sarawak dan Sabah disebabkan oleh autonomi mereka.

Lim dalam sidang medianya hari ini mengakui langkah itu mungkin memberikan kesan kepada penyokong lama.

"Kami tidak boleh menafikan kesan itu, tetapi penting bagi kami untuk bukan hanya mengadakan pertandingan satu lawan satu dengan BN, tetapi juga memiliki satu logo melawan BN kerana mereka secara tidak demokratik dan tidak adil enggan mendaftarkan Pakatan Harapan.

"Kami tidak mempunyai pilihan," katanya.

Lim berkata ini merupakan keputusan yang sukar dan menandakan kali pertama DAP akan bertanding dalam pilihan raya tanpa menggunakan logo sendiri.

"Ini bukan satu keputusan yang mudah untuk saya kerana sebagai setiausaha agung, buat kali pertama masuk medan pertandingan tanpa menggunakan logo roket bukan sesuatu yang mudah diterima," katanya.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad akan melancarkan logo bersama dalam satu majlis di Pasir Gudang, Johor, esok.


Facebook Comment