Jangan cari pasal dengan Pendekar Bugis, kata PM Najib - Randau Sarawak

Breaking

Monday, April 2, 2018

Jangan cari pasal dengan Pendekar Bugis, kata PM Najib

“Jangan main-main dengan Pendekar Bugis. Siapa yang nak mencarik-carik maruah orang Bugis, tunggu balasannya nanti," kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata demikian di hadapan kira-kira kira 5,000 pengamal seni silat negara sewaktu berucap di Majlis Himpunan Raksasa Guru-guru Silat 2018, di Gombak, Ahad.

Najib yang mempunyai darah keturunan Raja Gowa, Karaeng Aji dari Sulawesi, memberi amaran kepada pihak ‘tertentu’ yang cuba menggugat kepimpinan beliau ketika negara sedang berada di ambang pilihan raya umum.

Sementara itu, dalam ucapannya, Perdana Menteri turut melahirkan rasa kagum terhadap prinsip yang diamalkan pengamal seni silat, iaitu sikap wala’ dan taat kepada kepimpinan negara.

Beliau berkata, prinsip itu, jika turut dipelajari dan diamalkan rakyat negara ini, ia dapat menjamin kepimpinan sedia ada dalam perjuangan memenangi pilihan raya umum kelak.

"Kalau kita wala' dan setia, kita tidak akan bergaduh antara satu sama lain, kalau kita wala' dan setia, arahan pasti akan kita penuhi, kalau kita wala' dan setia tiadalah sikap seperti boikot dan menembak kaki sendiri, sabotaj dan lain-lain lagi.

"Bila saya tuntut wala' daripada anda semua ia bukan atas nama Najib Razak.. tetapi atas jawatan sebagai pemimpin utama negara Malaysia yang tercinta," katanya lagi.

Majlis itu, yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu, Gombak, turut diserikan dengan kehadiran Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Tan Sri Dr Ali Rustam, dan Setiausaha Agung PESAKA, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, yang juga merupakan Mahaguru Muda Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia.

Dalam pada itu, Najib turut memberi jaminan untuk terus mempertahan serta mengangkat martabat dunia persilatan ke tahap seterusnya.

“Sebab itu bila saya diminta isytihar silat sebagai seni pertahankan diri rasmi negara pada tahun 2015, saya tak ragu-ragu, malah saya anggap silat sebagai angkatan ketiga pertahanan negara yang boleh menegakkan kedaulatan negara kita, keselamatan negara kita, serta dapat memastikan maruah negara Malaysia akan terus dapat dipertahankan,” katanya lagi.

Perdana Menteri turut mengumumkan kesediaan kerajaan untuk membina kompleks silat negara, serta memperuntukkan geran tahunan kepada PESAKA sebagai badan induk untuk mengurus aktiviti serta menjaga kebajikan guru-guru dan pesilat dari pelbagai pertubuhan.

No comments:

Post a Comment