Hadiah misteri menanti Sarawak selepas BN menang PRU14 — Najib


Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak menjanjikan “sesuatu” untuk rakyat Sarawak jika berjaya mengekalkan pentadbirannya, yang dijangka berakhir pada petang ini.

Janji dan hadiah itu juga dijangka ditawarkan dalam Manifesto Barisan Nasional (BN), yang akan dilancarkan di Axiata Arena, Bukit Jalil pada jam 7.45 malam.

Benar, sekali lagi keutamaan kepada Sabah dan Sarawak, yang telah menghadiahkan kemenangan besar kepada parti itu sebelum ini.

Najib berkata, ia adalah ‘hadiah istimewa’ selepas negeri ini memberi sumbangan bermakna kepada BN pada Pilihan Raya Umum ke-13.

Hasil kerja keras PRU13 sebelum ini, Sarawak bukan sahaja mendapat kedudukan istimewa dalam Kabinet Pusat, malah lebih penting memperoleh Lebuh Raya Pan Borneo — mimpi yang diidam-idamkan sejak puluhan tahun.

Malah sejumlah RM4.3 bilion telah dipam turun ke Sarawak hasil 60 kunjungan Najib ke Sarawak , ke 162 lokasi sejak 2009.

Semalam, Empangan Bakun yang menjana 2400 MW tenaga, yang terbesar di negara ini dipulangkan secara rasmi kepada Kerajaan Negeri, menjadikan Sarawak sebagai pembekal dan pengeksport tenaga paling produktif dan agresif di rantau ini.

Pada majlis yang sama, Najib meluluskan RM76 juta untuk penduduk di kawasan penempatan semula Bakun, dengan pemberian tambahan tiga ekar tanah, di samping jalan ladang berjumlah RM9 juta.

Dengan ‘insentif’ sehingga minit akhir, tidak hairanlah Najib berkeyakinan Sarawak akan terus menjadi kubu kuat BN.

BN masih diperlukan di sini, dan dijangka akan menawan tiga kerusi sebaik sahaja PRU14 melabuh tirai.

Tiga kerusi yang dijangka dirampas ialah Miri, Sarikei dan Stampin. 


Facebook Comment