GST: Tembelang Pakatan burukkan GST pecah


Jika sebelum ini Pakatan Harapan yang diketuai DAP berdegar-degar mengatakan bahawa cukai barang dan perkhidmatan (GST) membebankan pengguna, kali ini mereka didesak untuk bersikap telus dan berhenti mengelirukan rakyat demi kepentingan politik masing-masing.

Desakan itu dilakukan oleh Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA) susulan pendedahan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengenai taktik orang tengah (kartel) yang bertindak me-manipulasi harga bagi meraih keuntungan berlebihan sehingga menyebabkan orang ramai menyalahkan GST atas kenaikan harga barang.

Presidennya, Datuk Dr. Jacob George berkata, Pakatan Harapan perlu membuat ‘ulang kaji’ terlebih dahulu sebelum menggunakan isu GST sebagai modal politik dan mereka juga perlu berhenti menyebarkan berita palsu mengenai pelaksanaan cukai itu.

“Saya melihat kebanyakan kenyataan pemimpin pakatan itu hanya retorik semata-mata dan langsung tidak menyentuh isu segelintir orang tengah yang memanipulasi harga barangan.

“Pemimpin Pakatan Harapan mungkin masih belum sedar dengan cabaran ekonomi dunia selain tahap kestabilan kewangan negara. Janji mereka untuk hapus GST adalah satu kenyataan tidak masuk akal,” katanya ketika dihub-ungi Utusan Malaysia, di sini, hari ini.

Menurut Jacob, beliau berharap pemimpin Pakatan Harapan mengamalkan politik bersih dan bukan dengan sengaja menanam kebencian dalam kalangan rakyat kepada kerajaan terutama menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Katanya, pemimpin Pakatan Harapan perlu mengambil kira kepentingan rakyat dan turut membangkitkan isu kartel seperti yang dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri sebelum ini.

“Saya bersetuju dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri sebelum ini mengenai manipulasi orang tengah. Kita telah menyiasat perkara ini dan berharap agensi-agensi berkaitan memantau mereka bagi memastikan hak rakyat terbela,” katanya. - UTUSAN ONLINE


Facebook Comment