Digelar 'anjing suruhan' kerana berkata benar - Randau Sarawak

Breaking

Thursday, April 19, 2018

Digelar 'anjing suruhan' kerana berkata benar


Veteran DAP, Dr Tan Seng Giaw menyelar kem pembangkang yang secara bertali arus melemparkan tuduhan, kononnya Malaysia bakal muflis. Beliau berkata, kenyataannya membidas 'rakan' sendiri adalah kerana ingin menyatakan kebenaran tanpa mempunyai sebarang agenda untuk berpaling tadah terhadap parti pembangkang.

"Malaysia tidak akan muflis seperti diperkatakan Tun Dr Mahathir Mohamad, ia perkara sebenar kerana saya sendiri yang mencari jawapan terhadap persoalan ini.

"Ketika menghadiri forum Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) tahun lalu, saya menerima laporan mengenai Malaysia dan selepas membacanya, kita berada pada kedudukan selepas Singapura, malah antara tertinggi di rantau Asia Tenggara.

"Perkara sama diperkatakan menerusi persidangan IMF bulan lalu dan saya sengaja ajukan soalan kepada mereka, sama ada skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan menyebabkan Malaysia muflis.

"Mereka jawab 'there is no such thing' (tiada perkara seperti itu). Ini adalah organisasi antarabangsa yang tidak mempunyai kebergantungan dengan Malaysia. Jadi, adakah IMF cuba menipu kita," katanya seperti dilaporkan portal beritadaily.com, semalam.

Bekas Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) itu sejak kebelakangan ini dihujani kritikan selepas mengeluarkan kenyataan bahawa tiada bukti secukupnya untuk mengaitkan
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan skandal 1MDB.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Kepong selama lapan penggal itu berkata, penyiasatan sepatutnya dijalankan terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim dan pihak berkaitan.

Dr Seng Giaw turut mempersoalkan rasional dan punca di sebalik tindakan ahli DAP melabel dirinya sebagai 'anjing suruhan' serta pengkhianat parti.

"Sekarang panggil saya 'running dog', dalam bahasa Melayu 'anjing suruhan'. Apa salah saya, adakah hanya kerana saya berkata benar. Mereka kata saya terima duit Najib, (oleh itu) mesti saya jutawan sekarang," katanya dalam nada sindiran.

Mengulas lanjut, Dr Seng Giaw berkata, dia pernah meneliti laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB beberapa kali dan tidak menemui sebarang bukti Najib terbabit dalam skandal berkenaan.

"Apa yang kamu nak saya katakan, bahawa Najib bersalah? Bagaimana boleh kita kata seseorang itu bersalah sedangkan tiada bukti. Apa sudah jadi dengan prinsip 'tidak bersalah sehingga terbukti bersalah'," katanya.

Mempertahankan pendiriannya terhadap Najib, beliau mengemukakan contoh bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipecat daripada UMNO dan Kabinet berikutan penyalahgunaan kuasa dan salah laku seksual.

"Saya berpendapat sama dalam isu Anwar bahawa beliau tidak diberikan layanan saksama dan tiada bukti kukuh mengenai kesalahannya. Sekarang individu yang menyebabkan Anwar menerima nasib sedemikian menyertai pembangkang.

"Kenapa kita boleh kata Anwar tidak bersalah, tetapi Najib bersalah, mana buktinya," katanya dalam satu temubual di kliniknya.

Anwar dipenjarakan pada April 1999 kerana rasuah dan meliwat iaitu dua pertuduhan yang sehingga kini dinafikan kesahihannya.

Pemenjaraan Anwar mencetuskan bantahan di seluruh negara sehingga membawa kepada gerakan reformasi menuntut Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri ketika itu untuk meletak jawatan.
Selepas gagal menggulingkan Najib menerusi pelbagai serangan, Dr Mahathir kini bersekongkol dengan kem pembangkang dan menubuhkan parti sendiri, selain bersetuju memberi laluan kepada Anwar menjadi Perdana Menteri jika pakatan pembangkang menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sementara itu, Dr Seng Giaw yang juga pakar dermatologis berkata, dia tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Kepong pada PRU-14, malah tidak menyimpan dendam terhadap sesiapa dalam DAP.
#HarapanFitnah
#HarapanPalsu

No comments:

Post a Comment