#BR1M #Manifesto : Luar bandar tak dipinggir


Seramai 6.8 juta penduduk luar bandar menikmati manfaat menerusi pembangunan luar bandar yang dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pelaksanaan Program Transformasi Negara (NTP).

Penduduk luar bandar diberikan kemudahan seperti jalan raya dan kawasan perumahan baru, bekalan elektrik dan air serta akses kepada peluang menjana pendapatan.

Pengerusi Koperasi Sepakat Muda Negeri Selangor Berhad Fakhruddin Afiq Mohd Shah, berkata, inisiatif itu jelas menunjukkan kerajaan BN tidak pernah meminggirkan komuniti luar bandar untuk turut sama merasai pembangunan pesat.

Katanya, dalam tempoh tujuh tahun NTP, banyak perubahan positif menerusi pembaikan dan menaik taraf infrastruktur dilaksana demi keselesaan penduduk luar bandar.

“Penduduk luar bandar memang dahagakan pembangunan infrastruktur sama seperti di bandar. Justeru, dengan adanya NTP ini, secara tidak langsung jurang kemudahan bandar dan luar bandar dihapuskan.

“Pembangunan dilakukan menyeluruh dan semua masyarakat tanpa mengira bangsa serta agama dapat menikmatinya,” katanya.

Menerusi NTP 2010-2017, 6,868 kilometer jalan raya dibina dan dinaik taraf, manakala 354,400 isi rumah mendapat bekalan air bersih, 809,655 isi rumah pula menikmati bekalan elektrik dan 103,033 rumah berjaya dibaik pulih.

Fakhruddin Afiq berkata, perubahan besar juga dapat dilihat di Sabah dan Sarawak, menerusi pembaikan sistem jalan raya apabila perjalanan semakin singkat.

“Pengalaman saya enam tahun lalu, keadaan di Pasar Satok, Kuching tidak begitu tersusun. Tetapi, lama kelamaan dengan inisiatif dilakukan, banyak perubahan positif.

“Ini jelas menunjukkan nasib orang luar bandar dibela kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung, Zambri Mohd Isa berkata, melalui sektor ‘Meningkatkan Pembangunan Luar Bandar’, kerajaan BN menunjukkan inisiatif luar biasa memperkasakan penduduk luar bandar.

“Sektor ini meningkatkan hasil untuk komuniti luar bandar melalui peruntukan jalan baru dan perumahan.

“Infrastruktur disediakan untuk penduduk luar bandar memberi impak besar, bukan hanya untuk meningkatkan pendapatan, malah meningkatkan peluang pendidikan dan mengurangkan jurang antara kawasan luar bandar dan bandar,” katanya.

Ubah kampung ikut arus moden

Penduduk daerah ini bersyukur selepas kerajaan Barisan Nasional (BN) menyediakan kemudahan asas dan infrastruktur sejak memerintah negeri ini.

JALAN utama menghala ke Kampung Telela yang dilengkapi kemudahan infrastruktur seperti jalan raya berturap dan lorong kampung dilengkapi lampu jalan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Telela, Pauh, Padzin Mohamood, 62, berkata, sejak BN memegang tampuk kepemimpinan kerajaan negeri, persekitaran kampungnya berubah mengikut arus kemodenan.

“Jika dulu mungkin keadaan jalan raya di kampung ini sempit dan tidak berturap.

“Namun kini hampir 100 peratus kampung di daerah ini jalannya berturap, malah lampu turut dipasang,” katanya.

MAT Saufi (kanan) melihat bekalan air bersih yang diterima penduduk Kampung Banggol, Permaisuri, Setiu.

Padzin berkata, 20 tahun lalu, kemudahan di kampungnya kekurangan dan penduduk sukar melaksanakan aktiviti harian.

“Dulu lampu jalan hanya dipasang di kawasan terpilih saja terutamanya di pekan dan bandar utama.

“Malah, ada penduduk tidak berani keluar rumah pada waktu malam kerana gelap dan bimbang keselamatan mereka.

“Kini boleh dikatakan setiap lorong dan jalan raya dipasangkan lampu serta penduduk tidak lagi merungut sekiranya perlu keluar pada waktu malam bagi menyelesaikan urusan masing-masing,” katanya.

Situasi sama turut dirasai penduduk di pantai timur.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) Bukit Kemudu, Permaisuri, Terengganu, Zahari Jusoh berkata, kejadian kemalangan semakin berkurangan sejak adanya kemudahan lampu jalan di Bukit Kemudu.

Dia berkata, ada enam selekoh tajam di sepanjang jalan utama kampung yang sering menjadi lokasi kemalangan selama ini.

“Masalah itu mendapat perhatian Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) yang prihatin dengan memasang lampu jalan di sepanjang tiga kilometer jalan ini sejak 2015.

“Kemudahan berkenaan bukan saja memberi manfaat kepada pengguna jalan, tetapi dapat memastikan keselamatan lebih 200 penduduk terbela,” katanya.

Katanya, jika boleh lebih banyak lagi lampu jalan diperlukan kerana masih terdapat banyak kawasan gelap di kampung itu.

Sementara, Pengerusi JKKK Banggol, Mat Saufi Deraman, berkata, projek pembekalan air bersih di kampung itu dapat memastikan penduduk dapat hidup lebih selesa.

“Projek yang menelan kos RM500,000 daripada KKLW itu dibuat pada Jun hingga September lalu.

“Pemasangan kemudahan paip utama di laluan masuk dilaksanakan di bawah projek itu,” katanya.

Mat Saufi berkata, sebelum ini, lebih 40 penduduk di Kampung Banggol Dalam dan Bukit Maras berdepan masalah mendapatkan bekalan air bersih.

“Mereka bergantung kepada sumber air dari perigi dan sungai sama ada menggunakan keadaan tradisional atau boring air bawah tanah.

“Masalah lebih kritikal apabila tiba musim kemarau kerana banyak perigi kering dan terpaksa mengangkut air dari kawasan lain,” katanya.

Dia berkata, dengan kemudahan bekalan paip air, penduduk lega kerana dapat membuat penyambungan paip terus ke rumah.

#BRIM #Manifesto #DahulukanRakyat #BersamaBN #HebatkanNegaraku #JomBN


Facebook Comment