Bekas ratu cantik diugut kerana sokong manifesto BN - Randau Sarawak

Breaking

Friday, April 27, 2018

Bekas ratu cantik diugut kerana sokong manifesto BN


SEREMBAN 27 April - Bekas ratu cantik Miss Malaysia Indian Global 2006, Mourhrna A. Reddy menerima pelbagai ugutan dan ancaman selepas rakaman video memaparkan sokongannya terhadap manifesto Barisan Nasional (BN) dimuat naik di laman sosial Facebook.

Mourhrna berkata, video yang dimuat naik di laman Facebook 'Den Anak Seremban' itu telah mendatangkan kemarahan beberapa individu lain sekali gus membuat ugutan untuk mencederakannya.

"Beberapa hari selepas video memaparkan sokongan saya terhadap manifesto BN yang boleh membantu komuniti India di Seremban dimuat naik, saya telah menghubungi pemilik akaun dan meminta ia dipadam.

"Ini ekoran saya menerima pelbagai ugutan oleh beberapa individu menerusi aplikasi WhatsApp dan komen di Facebook.

"Selepas dipadamkan, ada pihak yang sempat memuat turun video berkenaan dan menularkannya menerusi WhatsApp. Saya kemudian menerima pelbagai ugutan termasuk akan disimbah asid di muka selain dicederakan," katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Mourhrna memberitahu, dia turut menerima satu rakaman video daripada seorang lelaki India yang tidak dikenali dan menyuruhnya menukar parti.

"Lelaki itu berkata, kalau saya terus menyokong BN, tidak tahu apa akan berlaku kepada saya nanti dan masih belum terlambat untuk saya masuk pembangkang. Semua video dan rakaman suara itu membuatkan saya trauma dan saya telah mengupah seorang pengawal peribadi demi keselamatan," katanya.

Mourhrna memberitahu, satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Seremban 2 dan beliau menyerahkan tindakan selanjutnya kepada pihak berkuasa untuk menyiasat. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment