99.4 peratus manifesto BN PRU-13 berjaya ditunaikan, Pakatan Harapan terus dengan pusingan U


Sebut sahaja manifesto, sudah pasti ramai ‘garu kepala’ kerana sudah beberapa kali pakatan diketuai DAP terpaksa membuat pusingan U dalam polisi yang kononnya mahu dilakukan untuk ‘menyelamatkan’ negara.


Ini berbeza dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang konsisten dengan setiap perancangan tanpa perlu menjadi populis dan buktinya, 99.4 peratus janji yang terkandung dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) sudah dilaksanakan.


Menurut Presiden Persatuan Kelab Belia Malaysia (MAYC), Mohd. Syahbuddin Hashim, Pakatan Harapan diketuai DAP tidak akan mampu mencapai kejayaan merealisasikan manifesto seperti kerajaan BN kerana mereka tidak mempunyai pendirian yang jelas untuk pembangunan rakyat dan negara.


“Pakatan Harapan cuba untuk ‘mencuri’ tumpuan rakyat dengan tawaran manifesto yang bersifat populis dan sukar untuk dilaksanakan. Apa yang diutamakan mereka adalah politik dendam dan kebencian yang bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan BN.


“Untuk menjadi kerajaan yang memerintah, Pakatan Harapan tidak boleh bersikap demikian kerana dendam politik akan membawa kesan buruk kepada masa negara dan generasi akan datang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malayisa di sini, hari ini.


Menurut Mohd. Syahbuddin, pemimpin Pakatan Harapan menggunakan taktik licik untuk menaikkan kemarahan rakyat kepada kerajaan dengan membangkitkan isu berkisar kos sara hidup ketika ini.


Katanya, manifesto pakatan itu untuk menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan tawaran baru kepada peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) adalah helah untuk memanipulasi emosi rakyat terutamanya golongan muda.


“Apa yang telah dilaksanakan kerajaan BN jauh lebih realistik dan mampu memberi kesan secara terus kepada rakyat. Pakatan Harapan seharusnya jangan berjanji dengan perkara yang tidak mampu untuk ditunaikan,” katanya. -UTUSAN ONLINE-


Facebook Comment