Zahid: BN janji masukkan MA63 dalam manifesto - Randau Sarawak

Breaking

Friday, March 23, 2018

Zahid: BN janji masukkan MA63 dalam manifesto

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan, hak rakyat Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan dimasukkan dalam manifesto Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Sambil mengulangi komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung isu MA63, katanya beliau menyokong dan mendokong agar mana-mana hak dalam perjanjian berkenaan yang terambil atau terlepas pandang dikembalikan kepada rakyat Sabah.

“Kita tahu, ada yang cuba mempromosikan ‘Sabah For Sabahan’, kononnya MA63 sesuatu yang harus diperjuangkan oleh pihak berkenaan. Tetapi, saya mewakili Perdana Menteri, saya mewakili BN, memberi jaminan MA63 akan termasuk dalam manifesto (BN) dan hak orang Sabah pasti terus dipertahankan.

“Jangan ingat kerajaan BN tidak ambil peduli tentang MA63. Kerana kita yakin dan percaya dengan komitmen perdana menteri, mana-mana dalam MA63 yang terambil atau terlepas pandang, pasti dirundingkan sebab tuntutan orang Sabah seperti tercatat dalam MA63 berhak dipenuhi.

“Kalau itu menjadi isu, dan menjadi keprihatinan BN, apa lagi mahu mereka (pembangkang) bangkitkan?” tanya Ahmad Zahid.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesrah Bersama Penduduk Kota Belud di Kampung Kesapang hari ini.

Turut hadir, Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Anggota Parlimen Kota Belud Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mary Yap Kain Ching.

Ahmad Zahid berkata beliau akan membantu Najib dalam memantau pelaksanaan dasar-dasar yang berkaitan dengan proses pengembalian hak rakyat Sabah dalam MA63 berkenaan.

“Ini adalah kerajaan BN… janji ditepati, kata dikota. Dalam hal janji ditepati dan janji dikota ini, mahkamah rakyat akan menentukan (menilai) jika kami tidak memberi prestasi terbaik,” katanya.

Beliau berkata BN mencapai prestasi perkhidmatan terbaik untuk rakyat dan negara sejak PRU13 berdasarkan manifesto BN pada pilihan raya tersebut.

No comments:

Post a Comment