*WANG DI SWITZERLAND BUKAN MILIK RAKYAT MALAYSIA - KEMENTERIAN KEWANGAN* - Randau Sarawak

Breaking

Friday, March 16, 2018

*WANG DI SWITZERLAND BUKAN MILIK RAKYAT MALAYSIA - KEMENTERIAN KEWANGAN*

Berkenaan laporan bahawa terdapat surat yang dihantar oleh pemimpin pembangkang, YB Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan YB Lim Kit Siang kepada ahli parlimen Switzerland untuk melobi pemulangan semula sejumlah wang bernilai CHF104 juta yang ditahan oleh Pengawal Selia Kewangan Switzerland (FINMA) atas dakwaan wang tersebut dikaitkan dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Kementerian Kewangan ingin menjelaskan beberapa perkara seperti berikut:

1. Kementerian Kewangan menyangkal tuduhan yang dibuat oleh YB Lim Kit Siang dalam surat yang dialamatkan kepada 154 ahli parlimen Switzerland bahawa beliau mendakwa aset 1MDB telah disalahgunakan. 1MDB telah memaklumkan kepada Kementerian Kewangan dalam siri soal jawab yang dibuat oleh pihak kementerian berkenaan sebarang tuduhan bahawa asetnya telah disembunyi atau disalah guna sama ada di dalam dan di luar negara adalah tidak benar sama sekali serta bermotifkan politik.

2. Berdasarkan pengetahuan Kementerian Kewangan, FINMA sedang menyiasat bank-bank swasta di Switzerland berikutan terdapat aduan bahawa bank-bank ini telah melanggar beberapa undang-undang pengubahan wang haram Switzerland dan secara haram mengaut keuntungan melalui beberapa transaksi tanpa mengetahui latar belakang urusan perniagaan dan transaksi tersebut. Hal ini dilihat sebagai kesalahan serius di bawah undang-undang kewangan dan perbankan Switzerland.

3. Pihak kementerian dimaklumkan bahawa CHF104 juta berkenaan sebenarnya merupakan jumlah keseluruhan saman dan penalti yang dikenakan oleh FINMA kepada bank-bank swasta kerana melanggar undang-undang kewangan dan perbankan Switzerland dan oleh itu, nilai CHF104 juta tersebut bukan hak milik kerajaan Malaysia atau mana-mana agensi mahupun syarikat yang berkaitan.

4. Pihak kementerian juga dimaklumkan bahawa saman dan penalti yang dikenakan telah dipertikai oleh bank-bank Switzerland dan mereka sedang membuat rayuan kepada Mahkamah Switzerland supaya bank-bank berkenaan dibebaskan daripada sebarang tuduhan salah laku.

5. Memandangkan pelbagai pemeriksaan dan audit yang dijalankan oleh pelbagai agensi penguatkuasaan di Malaysia termasuk PAC, SPRM, Polis Diraja Malaysia, AG dan beberapa agensi berkaitan lain tidak menunjukkan atau mengesan sebarang kehilangan dana daripada 1MDB, pihak kementerian mendapati adalah tidak wajar untuk membuat sebarang tuntutan kepada Kerajaan Switzerland berkenaan wang tersebut seperti yang dinyatakan kerana wang tersebut bukan milik rakyat Malaysia, seperti yang didakwa oleh YB Dr. Wan Azizah dan YB Lim Kit Siang dalam surat mereka kepada Ahli Parlimen Switzerland.

No comments:

Post a Comment