Sarawak jadi negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030


Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak bakal menjadi sebuah negeri berpendapatan tinggi berteraskan pembangunan teknologi menjelang 2030.

Beliau berkata, bagi mencapai matlamat tersebut, rakyat negeri ini perlu bersedia untuk mengaplikasikan kemajuan teknologi memandangkan Sarawak masih lagi ketinggalan daripada revolusi industri 4.0.

Katanya, bagi merapatkan jurang revolusi dihadapi kini, kerajaan negeri akan membangunkan teknologi digital dan makro satelit sebagai langkah mengatasi kelembapan pencapaian internet.

"Pencapaian internet yang cepat penting dalam pembangunan teknologi terutama bidang pertanian moden dan efisen untuk meningkatkan pendapatan petani di luar bandar.

"Bagi kemudahan infrastruktur seperti bekalan air, kerajaan negeri akan membangunkan sistem grid air bagi mengatasi masalah saluran air bersih di kawasan pendalaman," katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Randau Petang bersama Jabatan Penerangan, Jabatan Penyiaran, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia  (FINAS), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Biro Tatanegara (BTN) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) di sini, petang ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah negeri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Luar Bandar), Datuk Jaul Samion.
 
Dalam majlis itu, Pengarah JASA Sarawak, Hassan Busu bertindak sebagai moderator bagi sesi pertama iaitu taklimat Ekonomi Digital yang disampaikan oleh Pengurus Besar Lembaga Multimedia Sarawak (SMA), Dr Zaidi Razak, manakala Pengarah Penerangan Sarawak, Abang Sardon Abang Hashim pula menjadi moderator bagi sesi kedua bersama Ketua Menteri.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, bagi kemudahan perhubungan pula, selain pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo, kerajaan negeri turut membangunkan jalan pesisir menghubungkan seluruh rakyat di negeri ini.

Beliau berkata, turut diberi perhatian ialah meningkatkan sistem pengangkutan yang canggih dan efisien dengan memperkenalkan bas  menggunakan tenaga hidrogen dan kemudahan LRT dari Kuching ke Serian bagi kemudahan rakyat di bandar raya ini.

Katanya, semua kemudahan disediakan itu adalah bagi menangani pertambahan kepadatan penduduk, selain sebagai kemudahan kepada para pelancong yang kian meningkat.


Facebook Comment