Rayuan cadangan persempadanan semula esok - Randau Sarawak

Breaking

Tuesday, March 27, 2018

Rayuan cadangan persempadanan semula esok


PUTRAJAYA 27 Mac - Mahkamah Rayuan akan menentukan pada Khamis ini rayuan Kerajaan Selangor bagi mencabar cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Keputusan sama ada menolak atau membenarkan rayuan itu akan diumumkan oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Ahmadi Asnawi yang bersidang bersama Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

Sebelum itu, Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Amarjeet Singh yang mewakili SPR berhujah, rayuan Kerajaan Selangor kini bersifat akademik dan harus ditolak kerana cadangan persempadanan semula telah dibawa ke Parlimen untuk dibentangkan.

Akhbar melaporkan, laporan kajian semula persempadanan mengenai syor-syor yang dicadangkan bagi bahagian-bahagian pilihan raya akan dibentang di Dewan Rakyat, esok.

Sehubungan itu, hujah Amarjeet, rayuan tersebut tidak mempunyai merit dan tiada sebab yang wajar untuk panel tersebut campur tangan serta mengubah keputusan Mahkamah Tinggi.

Terdahulu, peguam Datuk Dr. Cyrus V. Das yang mewakili Kerajaan Selangor berhujah, semua persoalan undang-undang berhubung kesahan cadangan persempadanan semula hanya boleh dijawab di mahkamah kerana melibatkan isu-isu perlembagaan.

Hujah beliau, rayuan tersebut tidak bersifat akademik kerana mana-mana statut walaupun telah diluluskan oleh Parlimen, boleh digugurkan jika mahkamah mengisytiharkannya tidak sah dan tidak berperlembagaan.

Kerajaan Selangor merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 7 Disember tahun lalu yang menolak permohonan semakan kehakiman bagi mencabar persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen dan DUN di negeri itu.

Pada 19 Oktober 2016, Kerajaan Selangor yang diwakili Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, memfailkan permohonan bagi mencabar cadangan persempadanan semula yang dibuat oleh SPR.

Beliau memohon perisytiharan bahawa cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya itu, berdasarkan kajian SPR pada 2016, tidak mematuhi perlembagaan, tidak selaras dengan Fasal 2(c) dan 2(d) Perkara 113 (2) Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan, serta tidak sah dan terbatal.

Ahli Parlimen Gombak itu juga memohon mendapatkan perisytiharan bahawa kegagalan SPR menggunakan rang daftar pemilih terbaharu dalam urusan persempadanan semula itu adalah melanggar perlembagaan, tidak selaras dengan Seksyen 3 Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan, dan oleh itu adalah tidak sah dan terbatal.

No comments:

Post a Comment