PM umum manifesto BN 7 April


Kehangatan pilihan raya umum (PRU) ke-14 semakin terasa apabila BN dijangka mengumumkan manifesto mereka secara besar-besaran di Stadium Putra, Bukit Jalil pada 7 April ini. Perkembangan itu sekali gus memberi gambaran bahawa kemungkinan besar PRU ke-14 akan diadakan seawal hujung April atau awal Mei 2018.

Menurut laporan BH yang memetik sumber itu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mengumumkan manifesto berkenaan itu dihadapan ribuan penyokong BN dari seluruh negara.

Difahamkan juga semua 13 pemimpin kanan parti komponen BN, termasuk dari Sabah dan Sarawak akan hadir.

Pada PRU ke-13, Najib melancarkan manifesto BN di Stadium Putra Bukit Jalil pada 6 April 2013 iaitu 28 hari sebelum hari mengundi.

Pada PRU ke-12 pula pelancaran manifesto BN disempurnakan oleh perdana menteri ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 28 Februari 2008. Ia diadakan 11 hari sebelum mengundi.

Menurut BH lagi, Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa turut mengesahkan majlis itu akan diadakan bulan depan bagaimanapun enggan memaklumkan tarikh sebenar.

“Tunggu nanti, tak lama dah… akan datang. (Manifesto) yang jauh lebih baik,” beliau dilaporkan sebagai berkata.


Facebook Comment