Peniaga tampil idea kreatif tudung PRU14


Siapa kata orang kita tak pandai berniaga. Tengok sahaja kreativiti usahawan tudung apabila tampil dengan idea tudung rekaan khas sempena pilihanraya umum ke-14.

Tanpa memihak kepada sesiapa, pemilik laman sosial yang menggunakan nama Wanny Jibril dipercayai menjalankan perniagaan bawah Chenta Watie Scarf Kuala Lumpur menawarkan pilihan pelbagai tudung yang direka dengan mewakili parti utama di negara.

Koleksi tudung Edisi Terhad Siri Pilihanraya oleh Chenta Watie Scarf (Gambar Facebook)

“Pening nak pakai tudung apa untuk berkempen sempena pilihan raya umum ke-14 nanti?

“Jom dapatkan Bawal Satin Limited Edition Election Series by Chenta Watie Scarf.

“Harga hanya RM59 sahaja,” tulisnya di status semalam.

Status tersebut menerima respons menggalakkan apabila ramai netizen memuji idea Wanny selain turut berkongsinya secara meluas.

Kurang 24 jam, status itu mendapat lebih 1500 perkongsian, rata-rata menyifatkan ia sebagai pemasaran paling bijak dan menepati musim.

Menurut status itu lagi, Wanny akui tudungnya itu direka khas bagi penyokong parti agar nampak anggun sedondon mengikut parti masing-masing sewaktu berkempen

“Pre order (tempahan awal) dibuka sehingga 14 April sahaja. Masa penghantaran akan dibuat 7-10 hari waktu bekerja,” katanya yang turut akui membuka belian secara borong.

Tudung yang dijual Wanny didatangkan dalam warna dan simbol parti iaitu merah untuk Umno, merah jambu untuk Puteri Umno, oren untuk Amanah, hijau untuk PAS, biru muda untuk PKR, biru tua untuk Barisan Nasional, merah untuk Pakatan Harapan.

Tidak ketinggalan, ada netizen yang menyindir dengan mempersoal jika tudung ”roket” (DAP) atau Bebas juga turut dijual.

 


Facebook Comment