Pelancong Britian maut terjatuh semasa sertai aktiviti mendaki Gunung Mulu

Seorang pelancong warga Britian meninggal dunia akibat cedera parah selepas terjatuh ketika mendaki Gunung Mulu di sini, semalam.

Ketua Bomba Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, mangsa, Nigel Bevan, 50, berasal dari United Kingdom dilaporkan dalam keadaan kritikal setelah mengalami kecederaan di bahagian kepala akibat terjatuh ketika menuruni puncak Pinnacle Trail kira-kira pukul 11.30 pagi.

Beliau berkata, insiden itu dilaporkan oleh Pengurus Taman Warisan Mulu, Hein Gerstner melalui e-mel kepada Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii pada pukul 9.07 malam tadi.

“Usaha menurunkan mangsa dalam keadaan kritikal yang mengambil masa 8 jam perjalanan oleh Pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) Taman Mulu dari puncak ke Kem 5 berjaya dilakukan dan mereka tiba pada pukul 6 pagi ini.

“Di kem tersebut, mangsa segera diberikan rawatan susulan oleh seorang doktor yang diterbangkan dari Hospital Miri menggunakan helikopter Unit Udara Bomba yang sudah menunggu di situ,” katanya ketika dihubungi di sini pagi ini.

Namun, katanya, pemeriksaan mendapati mangsa telah meninggal dunia ketika dalam perjalanan dibawa ke kem berkenaan dipercayai selepas pukul 2.28 pagi.

Katanya, mayat mangsa telah diterbangkan ke Hospital Miri dan selamat tiba pada pukul 9.35 pagi. - UTUSAN ONLINE




Facebook Comment