PARLIMEN: Ada 'hantu' di Dewan Rakyat? - Randau Sarawak

Breaking

Friday, March 30, 2018

PARLIMEN: Ada 'hantu' di Dewan Rakyat?


KUALA LUMPUR: Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang digelar 'hantu' kerana tetap menghadiri sidang Dewan Rakyat hari ini walaupun digantung selama enam bulan mulai semalam.

Panggilan itu bergema di dewan selepas Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (BN-Setiu) menggunakan peraturan mesyuarat dewan untuk meminta Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, mengarahkan Ahli Parlimen Gelang Patah itu keluar mengikut Peraturan 44(5).

Che Mohamad Zulkifly menyifatkan kehadiran Kit Siang di dalam dewan sebagai menghina dewan kerana ingkar perintah penggantungan.

"Semalam, Gelang Patah sudah digantung enam bulan daripada persidangan tetapi ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membentangkan usul persempadanan semula, Gelang Patah berada dalam dewan.

"Tindakan Gelang Patah sebagai orang lama dan berusia 69 tahun ini tidak senonoh dan menghina dewan.

"Dengan ini saya menggunakan Peraturan Mesyuarat 44(5) meminta Tan Sri Yang Dipertua mengarahkan Gelang Patah keluar dari dewan yang mulia ini," katanya.

Ia kemudian dijawab secara sinis oleh Pandikar Amin dengan berkata: "Saya tidak nampak Gelang Patah."

Kekecohan bermula ketika Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar ingin membentangkan Rang Undang-undang Perkhidmatan Bomba (Pindaan) 2018.

Kit Siang kemudian bangun mengganggu Noh daripada meneruskan pembentangan dengan bertanya kepada Pandikar Amin sama ada beliau digantung sehari atau enam bulan.

Noh berkata, Kit Siang sudah 23 tahun berada di Dewan Rakyat dan suaranya biasa didengari namun orangnya tidak kelihatan.

Budiman kemudian bangun mencelah: "Ada suara hantu." katanya.

Menyifatkan Kit Siang sebagai tidak 'tidak faham bahasa', Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjung Karang mengakui akan keluar dari dewan jika diarah berbuat demikian.

Dewan Rakyat terus panas dengan beberapa Ahli Parlimen pembangkang bertikam lidah dengan Noh bagi mempertahankan Kit Siang.

No comments:

Post a Comment