Nak bolot harta, isteri dibelasahnya


HANYA kerana enggan menandatangani surat penyerahan harta yang diwasiatkan kepada isterinya, seorang lelaki tergamak membelasah mangsa dengan lampu kalimantang semahu-mahunya semalam.

Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, mangsa berusia 44 tahun berselisih faham dengan suaminya berusia 40-an di kediaman mereka di Taman Nenas, Kulim, berpunca suspek memaksanya menandatangani surat itu.

Menurut sumber, suaminya yang berang kemudian mengamuk sebelum menendangnya selain turut mengambil lampu kalimantang dan terus memukul di seluruh badannya.

"Lebih teruk suspek turut mengugut akan menyebarkan video hubungan seks mereka jika mangsa tetap berdegil.

"Mangsa yang bimbang dengan keselamatan diri kemudian keluar dari rumah itu dan tampil membuat laporan di Balai Polis Kulim tengah malam tadi," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ahmad Nasir Jaafar mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan suspek sudah ditahan bagi membantu siasatan.

"Suspek ditahan selepas memukul isterinya secara fizikal dan menggunakan lampu kalimantang.

"Suspek direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga," katanya.
Metro


Facebook Comment