Najib sindir Azmin


Hasrat Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali cuba ‘memalukan’ Datuk Seri Najib Tun Razak dalam sidang Dewan Rakyat hari ini apabila mengaitkan kemelut 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) dengan hutang negara akhirnya memakan diri. Perdana Menteri sebaliknya memberikan reaksi sinis kepada pertanyaan tersebut dan memulangkan paku buah keras kepada Ahli Parlimen Gombak itu dengan menyifatkan masalah air di Selangor adalah lebih kritikal.

Jawapan Najib tersebut menyebabkan Mohamed Azmin tidak berpuas hati dan mempersoalkan kewajaran isu air di negeri tadbiran beliau dikaitkan.

Bagaimanapun, reaksi Mohamed Azmin itu sekali lagi memakan diri apabila Ahli-ahli Parlimen BN bangkit ‘mengkritik’ urus tadbir air di Selangor sehingga menyusahkan mereka serta rakyat.

Lebih ‘menyedihkan’ ialah tidak ada seorang pun wakil rakyat pembangkang yang berdiri cuba mempertahankan Timbalan Presiden PKR itu.

Najib menjelaskan, peluang telah diberikan kepada Mohamed Azmin untuk bertanyakan soalan dan sewajarnya beliau juga perlu diberi peluang untuk menjawab.

“Saya buat perbandingan, ada contoh. Tetapi kenapa Gombak panas punggung sentuh pasal air? Hairan, hairan,” sindir beliau.

Perdana Menteri berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Mohamed Azmin sama ada kemelut hutang 1MDB mendatangkan kesan kepada peningkatan jumlah faedah hutang negara pada sesi soal jawab lisan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini. - UTUSAN ONLINE


Facebook Comment