Mahu mengharap apa daripada Pakatan Harapan?


JIKA pada kempen Pilihan Raya Umum 1999, lagu tersohor, My Way nyanyian Frank Sinatra digunakan sebagai modal kempen Tun Dr. Mahathir Mohamad bagi meyakinkan rakyat Malaysia dengan kepemimpinan beliau yang dikritik ramai.

Walaupun kepemimpinannya dilihat tidak cocok dengan amalan demokrasi yang menekankan keterbukaan, ketelusan dan keputusan bersama, namun jentera propaganda beliau ketika itu cuba menanamkan kepada rakyat yang Dr. Mahathir mempunyai cara tersendiri memerintah negara.

Cara beliau itu yang dalam bahasa mudah disifatkan sebagai autoritarian juga dilontarkan oleh Washington Post mengenai sejauh mana Dr. Mahathir telah berubah dari segi kepemimpinan - kebimbangan utama rakyat Malaysia, dan bukannya soalan fizikal beliau.

Jika melihat kepada wawancara terbaru disiarkan Sunday Times Singapura, ‘Tun tetap Tun’. Walaupun menghapuskan tol menjadi agenda besar DAP dan PKR sejak beberapa pilihan raya umum lalu, namun Dr. Mahathir tetap mempertikaikan bagaimana hendak menyelenggara jalan dan membina lebuh raya baru jika tol tidak dikenakan.

Malah beliau menyifatkan kehendak sekutu baharunya itu terpaksa dimasukkan dalam manifesto atas faktor populis apatah lagi parti dalam gabungan Pakatan Harapan mempunyai dasar sosialis.

Akhirnya, apa yang Pakatan Harapan diketuai DAP ini dapat lakukan untuk Malaysia? Mereka bersatu hanya atas satu tujuan, menjatuhkan kerajaan UMNO, Barisan Nasional (BN) diterajui Datuk Seri Najib Tun Razak.

Latar belakang ‘musuh bertukar rakan’ dalam konteks Mahathir dan DAP atau ‘rakan-musuh-rakan’ untuk Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim juga sudah menampakkan kelonggaran gabungan pakatan itu.

Belum pun memerintah, sudah banyak percanggahan. Jika Dr. Mahathir sibuk dengan tol yang dilihat satu dasar mengayakan kelompok tertentu, Kit Siang pula tetap dengan impian ‘Malaysian Malaysia’.

PKR pula setakat ini mungkin sibuk menghitung hari Anwar dibebaskan dan satu lagi komponen mereka, PAN, mungkin aksesori melengkapkan Pakatan Harapan agar ada latar belakang ustaz.

Itu sahajakah?

-UTUSAN ONLINE


Facebook Comment