Kes rasuah Guan Eng dapat sokongan hambar penyokong DAP - Randau Sarawak

Breaking

Monday, March 26, 2018

Kes rasuah Guan Eng dapat sokongan hambar penyokong DAP


SITUASI di pekarangan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pagi ini agak lengang dengan kehadiran penyokong DAP meskipun kes berprofil tinggi membabitkan Ketua Menteri, Lim Guan Eng mula dibicarakan hari ini.

Di sebalik hebahan menerusi pelbagai saluran supaya lebih ramai penyokong DAP turun memberi sokongan, namun pekarangan Mahkamah Tinggi di sini iaitu lokasi di mana berlangsungnya perbicaraan kes rasuah membabitkan Ketua Menteri, Lim Guan Eng pagi ini agak lengang.

Tidak seperti dijangka bakal menarik perhatian ramai, hanya sekitar 50 penyokong DAP berhimpun di pekarangan mahkamah itu sejak awal pagi ini sehingga pukul 8.30 pagi ini.

Situasi itu berbeza ketika sesi mahkamah sebelum ini yang menyaksikan kira-kira 200 penyokong DAP berhimpun menyatakan sokongan sejak awal pagi.

Perbicaraan kes rasuah membabitkan Guan Eng dan ahli perniagaan wanita, Phang Li Koon bermula hari ini selepas beberapa kali ditangguhkan sejak kira-kira dua tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Hadhariah Syed Ismail pada 10 Januari lalu membuat ketetapan supaya perbicaraan rasuah Guan Eng serta Li Koon perlu diselesaikan dalam tempoh lima minggu.

Tarikh perbicaraan itu ditetapkan  bermula  hari ini hingga 30 Mac; 9 hingga 12 April; 23 hingga 27 April; 7 hingga 10 Mei dan 21 Mei hingga 25 Mei ini dengan seramai 40 saksi akan dipanggil oleh pihak pendakwa raya.

Pada 30 Jun tahun lalu, Guan Eng, 57, mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan rasuah membabitkan penukaran status tanah daripada zon pertanian kepada zon perumahan dan pembelian lot tanah serta sebuah banglo di Jalan Pinhorn, Georgetown di bawah nilai pasaran.

Bagi dua pertuduhan itu beliau didakwa mengikut Seksyen 23, Akta SPRM 2009 dan Seksyen 165, Kanun Keseksaan.

Li Koon pula didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, yang dibacakan bersama Seksyen 165 kanun sama kerana bersubahat dengan Guan Eng berhubung pembelian banglo itu. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment