Kepala wanita tanpa badan di tebing Batang Lupar

SRI AMAN: Beberapa penduduk setempat gempar dengan penemuan kepala wanita tanpa badan, ditemui di tebing Sungai Batang Lupar di Skait di sini, petang tadi.

Kepala wanita dipercayai berusia 20-an itu ditemui jam 4.30 petang oleh orang ramai yang secara kebetulan lalu di kawasan tebing sungai berkenaan.

Sumber polis berkata, pada mulanya penduduk menyangka mayat wanita itu lengkap, namun selepas melihat dari dekat hanya kepala ditemui tanpa badan, yang terdampar pada kawasan berlumpur di tebing sungai berkenaan.

"Penduduk kemudian terus menghubungi Balai Polis Sri Aman untuk tindakan selanjutnya oleh pihak berkuasa.

"Sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sri Aman dihantar ke lokasi untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi malam ini.

Sumber berkata, berdasarkan siasatan awal, wanita terbabit dipercayai mati kurang 24 jam sebelum ditemui berdasarkan keadaan fizikal kepalanya.

Katanya, setakat ini polis masih menyiasat sama ada wanita terbabit adalah mangsa perbuatan jenayah atau sebaliknya dan kepala yang ditemui sudah dibawa ke Hospital Sri Aman untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sri Aman Deputi Superintendan Othman Sulaiman, ketika dihubungi NSTP, mengesahkan penemuan kepala wanita terbabit.

Katanya, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sehingga siasatan lanjut selesai dijalankan.

"Kepada penduduk yang kehilangan ahli keluarga wanita berusia 20-an diminta menghubungi balai polis terdekat untuk menyalurkan maklumat berkaitan," katanya.




Author:

Facebook Comment