Kelemahan tadbir kerajaan negeri punca masalah bekalan - Randau Sarawak

Breaking

Monday, March 12, 2018

Kelemahan tadbir kerajaan negeri punca masalah bekalan




Kelemahan tadbir urus kerajaan negeri Selangor yang tidak konsisten mengakibatkan ketidakseimba­ngan pembangunan sehingga terjadinya gangguan bekalan air yang mencetuskan kontroversi. Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim berkata, lima punca yang dikenal pasti dan dikongsi Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air adalah perkara serius dan seharus­nya diberi penekanan yang amat mendalam kerana melibatkan kestabilan serta kesejahteraan penduduk masa hadapan di Selangor.

Katanya, pertumbuhan pesat dan kepadatan penduduk di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor telah menyebabkan penggunaan air telah mencecah 209 Liter perkapita dan membuktikan sumber tidak mencukupi bagi setiap isi rumah ketika ini.

“Margin rizab bekalan air bersih sepatutnya sebanyak 10 peratus hingga 20 peratus tetapi tidak bagi Selangor. Maka catuan sudah tentu harus dikenakan dan dilakukan sewaktu musim kemarau yang akan datang.

“Biarpun tidak di musim kemarau, soal paip pecah sudah menjadi lumrah bagi rakyat Selangor menanggung gangguan bekalan air,” katanya dalam kenya­taan di sini hari ini.

Beliau mengulas perkongsian Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang dengan Utusan Malaysia berkenaan punca utama krisis bekalan air di Selangor.

Tambah Irmohizam, antara punca lain adalah pelaksanaan penstrukturan air lebih sistematik yang dikatakan agak lewat dimuktamadkan kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri Selangor dilihat tidak begitu serius dalam mencari penyelesaian sebaliknya dilihat hanya gemar menuding jari menyalahkan kerajaan pusat dari masa ke semasa.

“Sikap yang ditunjukkan ini amat berbahaya dan boleh menimbulkan huru hara dalam kalangan rakyat. Apakah wajar rakyat dijadikan mangsa catuan air sekali lagi di masa akan datang?” soal beliau.

No comments:

Post a Comment