Karnival ONE SSM kembali ke Kuching


KUCHING: Karnival Online Networking Entrepreneurs (ONE) anjuran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kembali lagi berlangsung di bandaraya ini.

SSM sekali lagi memilih Pusat Beli Belah CityONE Megamall, di sini sebagai lokasi penganjuran bermula hujung minggu ini, dengan sasaran 20,000 pengunjung dijangka hadir.

Ia kali ketiga dianjurkan di Sarawak, dengan kali terakhir karnival itu berlangsung dua tahun lalu, juga di lokasi sama.

Keseluruhannya, 80 ruang pameran dan gerai jualan disediakan sepanjang karnival berlangsung, dengan majlis perasmiannya dijadual disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, pada jam 2 petang Sabtu ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, berkata program berkenaan adalah platform terbaik dalam usaha memangkin pertumbuhan perniagaan atas talian di negeri ini.

"Ini juga bagi mendukung usaha melahirkan lebih ramai usahawan atas talian, terutama dalam kalangan generasi muda, seterusnya menjayakan aspirasi Dasar Ekonomi Digital yang diperkenalkan kerajaan negeri," katanya

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Zahrah Abd Wahab Fenner, di pejabatnya, di sini, petang tadi.

Hadir sama, Menteri Muda Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana dan Usahawan Sarawak, Datuk Naroden Majais dan Menteri Muda Industri dan Pelaburan Sarawak, Malcom Mussen Lamoh.

Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian dan Usahawan Sarawak, berkata perniagaan dalam talian antara segmen yang diberikan penumpuan khusus dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan PKS di negeri ini.


Facebook Comment