GST bukan punca utama kenaikan kos sara hidup - Randau Sarawak

Breaking

Wednesday, March 28, 2018

GST bukan punca utama kenaikan kos sara hidup


Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bukan punca utama kenaikan kos sara hidup sebaliknya turut disumbang oleh faktor lain, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Muhammad Ibrahim.

Beliau berkata GST juga tidak memberi kesan kepada inflasi kerana is sudah diserap sepenuhnya pada tahun 2015.

Katanya, GST sering dipersalahkan sebagai punca utama kepada kenaikan kos sara hidup tetapi masalah itu seharusnya dilihat daripada akar umbi.

"Kita perlu melihat seperti dari segi kekangan bekalan untuk barang dan perkhidmatan, sama ada perlu atasi masalah kekangan bekalan itu.

"Sekali lagi, apabila berbincang mengenai kos sara hidup, kita tidak boleh melihatnya dari satu sudut sahaja, tetapi perlu lihat dari sudut pendapatan juga.

"Penambahbaikan pendapatan juga amat penting, jika tahap pendapatan meningkat lebih daripada kos sara hidup, maka taraf hidup rakyat akan meningkat," katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat laporan tahunan 2017 dan laporan kestabilan kewangan dan sistem pembayaran 2017 di sini, sebentar tadi.

GST mula diperkenalkan di Malaysia pada April 2015 menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Dalam pada itu, Muhammad berkata pilihan raya umum (PRU) yang akan diadakan tidak lama lagi tidak akan memberi kesan langsung kepada ekonomi negara.

"Jika kita melihat kepada PRU sebelum ini, tiada kesan langsung kepada ekonomi. Saya tidak dapat mengingati jika ada PRU pernah memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara," katanya.

Ditanya mengenai perkembangan penggunaan cek ketika ini, Muhammad berkata, usaha pihaknya untuk mengurangkan penggunaan cek berhasil apabila menurun kepada 120 juta pada tahun lalu berbanding 210 juta pada tahun 2011.

Katanya, pihaknya menjangkakan akan mampu melepasi sasaran penggunaan 100 juta cek pada tahun 2020.

"Berdasarkan kepada pengurangan ketara ini, kita jangka penggunaan cek akan berkurang kepada 80 juta sahaja menjelang tahun 2020 dengan semakin ramai pengguna kini beralih kepada sistem urus niaga e-pembayaran," katanya.

No comments:

Post a Comment