Dr Mahathir 'ceroboh' taklimat Ahli Parlimen


Tun Dr Mahathir Mohamad 'menceroboh' sesi taklimat perundangan kepada Ahli Parlimen pembangkang mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018 di Parlimen, hari ini.

Taklimat tertutup yang diadakan jam 2.30 petang itu bertujuan memberi penjelasan kepada Ahli Parlimen pembangkang berhubung RUU yang dijangka dibahaskan di Dewan Rakyat pada sesi kali ini.

Bagaimanapun, sesi itu menerima tetamu tidak diundang apabila Dr Mahathir tiba-tiba masuk dan menyertai taklimat yang disampaikan pegawai Jabatan Perdana Menteri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata pihaknya tidak menjemput Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu kerana majlis berkenaan dikhaskan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Walaupun tidak kisah dengan kehadiran bekas Perdana Menteri itu, beliau terkilan kerana taklimat yang sepatutnya menjadi sesi bertukar pandangan dengan Ahli Parlimen pembangkang, bertukar kepada dialog politik.

"Saya jemput Ahli Parlimen pembangkang kerana nak dengar pandangan perundangan (mengenai RUU), tapi mereka politikkan (RUU), kononnya kerajaan laksanakan undang-undang ini kerana sudah hampir pilihan raya.

"Mereka terlampau terdesak hingga sanggup wujudkan ketakutan terhadap undang-undang ini. Kita nak terangkan, tapi (sebelum habis) mereka sudah keluar.

"Tun Mahathir keluar (sebelum taklimat selesai), Ahli Parlimen Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin), Ahli Parlimen Lembah Pantai (Nurul Izzah Anwar) juga keluar, nak buat macam mana.

"Dia datang cakap, lepas itu keluar, 'macam nak pukul maut la'. Saya tak kisah pembangkang sebab itu modal mereka, tapi Tun sebagai bekas Perdana Menteri, ada tak undang-undang waktu zamannya dibawa bincang dengan pembangkang," katanya ketika ditemui selepas sesi taklimat bersama media mengenai RUU itu di Parlimen.

Terdahulu, Dr Mahathir yang baru selesai menghadiri Mesyuarat Majlis Presiden PH di Pejabat Ketua Pembangkang di bangunan Parlimen, masuk ke sesi taklimat tertutup itu bersama Ahli Parlimen pembangkang yang lain.

Taklimat mengenai RUU Antiberita Tidak Benar 2018 itu disampaikan oleh wakil Jabatan Perdana Menteri bersama Pejabat Peguam Negara, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dr Mahathir yang ditemui selepas itu, mendakwa RUU itu hanya untuk menyekat suara pembangkang dan beberapa soalan diajukan semasa taklimat berkenaan tidak dapat dijawab oleh pegawai berkaitan, namun disanggah Azalina.

"Ini undang-undang untuk membantu rakyat yang jadi mangsa (berita palsu). Awak percaya (dakwaan Dr Mahathir)? Awak lihat kami tadi (menjawab soalan media), awak percaya (tidak boleh jawab)," kata Azalina, merujuk kepada sesi taklimat bersama media berhubung RUU itu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Batu dari PKR, Tian Chua ketika dihubungi, berkata Ahli Parlimen pembangkang tidak menjemput Dr Mahathir untuk hadir pada taklimat itu, sebaliknya Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang mahu ikut serta.

"Selepas mesyuarat, kami beritahu mahu hadir ke taklimat itu dan dia (Dr Mahathir) kata mahu ikut kerana nak dengar penerangan Azalina.

"Tapi apabila dia lihat pegawai kerajaan yang beri penerangan dan bukan Azalina, dia pun keluar," katanya.


Facebook Comment