Dakwaan persempadanan semula memenangkan BN hanya helah

KUALA LUMPUR 28 Mac - Setiap kali musim pilihan raya, sudah menjadi kelaziman buat DAP dan sekutunya akan memalu gendang spekulasi untuk mewujudkan keraguan dalam kalangan rakyat tentang integriti sistem pilihan raya di negara ini.

Jika dahulu mereka menjaja kisah kerajaan membawa masuk 40,000 pengundi hantu dari Bangladesh, hari ini mereka menyerang habis-habisan usul laporan kajian persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula.

Sedangkan, bantahan itu hanya disebabkan laporan kajian persempadanan semula itu tidak memenuhi selera mereka yang sebolehnya mahu memberi kelebihan kepada parti yang menguasai kawasan bandar seperti menerusi prinsip ‘satu orang satu undi’.

Bagi pensyarah sains politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Abdul Muein Abadi berkata, spekulasi yang ditimbulkan dilihat sebagai satu lagi modal politik sensasi daripada Pakatan harapan dalam usaha mereka memenangi pilihan raya kali ini.

“Ini memang lumrah dalam dunia politik, namun harus diingat, jangan sehingga spekulasi yang disebar mempunyai unsur berita palsu.

“Tambahan lagi, SPR sendiri sudah menjelaskan bahawa usul persempadanan semula ini dibuat secara teknikal, bukan politik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Beliau mengulas kajian yang dilakukan aktivis politik, Wong Chin Huat melalui kertas kerjanya yang bertajuk “Bagaimana Pilihan Raya Malaysia Dicuri” seperti yang dilaporkan portal propembangkang, Malaysiakini semalam.

Menurut Abdul Muein, tajuk laporan yang disiarkan portal tersebut, iaitu “Dengan persempadanan semula, BN akan menang 94 kerusi di semenanjung” adalah tersasar kerana Chin Huat menggunakan data pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

“Kajian tersebut tidak menggambarkan situasi PRU-14 dengan tepat,” katanya.

Usul laporan kajian semula persempadanan pilihan raya yang dijadualkan dibentang pukul 11.30 pagi ini terpaksa ditangguhkan berikutan kekecohan yang ditimbulkan wakil pembangkang diketuai Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah).

Walau bagaimanapun, pembentangan usul itu kemudian bersambung kira-kira 12.30 tengah hari ini. - UTUSAN ONLINE


Facebook Comment