Cina bosan isu remeh dijaja pembangkang - Randau Sarawak

Breaking

Monday, March 12, 2018

Cina bosan isu remeh dijaja pembangkang

Masyarakat Cina di negeri ini dilihat mula kembali ke pangkuan Barisan Nasional (BN) selepas kecewa dan keliru dengan pembangkang yang dihimpit pelbagai isu. Selepas 'Tsunami Cina' melanda pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang menyaksikan ramai pengundi Cina menyokong calon pembangkang, ada petanda menunjukkan aliran berkenaan akan berubah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Berikutan keputusan mengecewakan pada pilihan raya umum lalu, MCA Pahang dijangka memperkenalkan muka baharu di lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ditandinginya iaitu Mentakab, Cheka, Damak, Tanah Rata, Tras, Semambu, Teruntum dan Bilut.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bilut, Datuk Hoh Khai Mun daripada MCA, berkata, pihaknya dapat melihat perubahan sokongan masyarakat Cina kepada BN menjelang PRU-14 walaupun bukan keseluruhannya.

Ragui kemampuan pakatan pembangkang

"Mereka bosan dengan isu membabitkan pakatan pembangkang dan kemampuan mereka sebagai satu pasukan, mereka mempersoalkan bagaimana seorang pemimpin berusia 93 tahun (merujuk kepada Tun Dr Mahathir Mohamad) dipilih untuk mengetuai pembangkang.

"Hampir setiap minggu ada isu membabitkan pembangkang bermula daripada projek terowong bawah tanah di Pulau Pinang dan perjanjian tanah di Ijok, Selangor yang belum diselesaikan, lebih banyak persoalan berbanding jawapan," katanya yang menjadi wakil rakyat selama empat penggal.

Khai Mun yang juga Pengerusi MCA Pahang berkata, MCA menyasarkan untuk memenangi dua kerusi Parlimen dan empat DUN pada PRU-14 selepas hanya memenangi satu Parlimen serta dua kerusi DUN pada PRU-14.

"Itu adalah sasaran minimum dan kita bekerja keras untuk mencapainya, kita melipatgandakan usaha bagi memenangi semula kerusi yang kita kalah dan mengekalkan kerusi sedia ada dengan majoriti lebih baik.

Jelajah kawasan, tunai janji

"Malah, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang juga Ahli Parlimen Bentong menjelajah ke pelbagai kawasan untuk menunaikan janji dibuat dan kita yakin masyarakat Cina akan kembali menyokong kerajaan dipimpin BN," katanya.

Beliau turut mengesahkan beberapa calon muka baharu akan ditampilkan di kerusi DUN yang terdiri daripada penduduk tempatan, disukai masyarakat dan individu yang bekerja keras untuk berkhidmat kepada rakyat.

Walaupun Khai Mun menolak kemungkinan dirinya bertanding pada PRU-14, pemimpin berusia 62 tahun itu bagaimanapun menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan nasibnya.

Pada PRU-13, MCA hanya menang di Parlimen Bentong menerusi Tiong Lai dan Cheka (Datuk Fong Koong Fuee) serta Damak (Datuk Lau Lee).

Koong Fuee yang menjadi ADUN Cheka selama lima penggal mengesahkan beliau akan bersara daripada politik sekali gus memberi laluan kepada muka baharu.

No comments:

Post a Comment