BR1M terbukti bantu ekonomi dalam negara


KUALA LUMPUR: Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) terbukti berkesan membantu meningkatkan ekonomi dalaman negara sehingga ingin diteruskan pakatan pembangkang sekiranya mereka berkuasa.

Sebelum ini pakatan pembangkang secara terang-terangan menolak BR1M yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada tahun 2012 dan menyifatkannya sebagai 'dedak' buat rakyat.

Namun, sebaliknya, pakatan pembangkang menerusi laporan Belanjawan Alternatif 2018, jelas menyatakan akan meneruskan pemberian BR1M sekiranya mereka berjaya membentuk kerajaan.

Malahan, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga dalam ucap tama pada perasmian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Januari tahun lalu turut memberi bayangan akan meneruskan BR1M.

Penganalisis Ekonomi, Nazarry Rosli, berkata BR1M berkesan membantu golongan sasar yang memerlukan bantuan tambahan, terutama dalam mendapatkan barangan keperluan harian.

"BR1M amat baik dalam membantu ekonomi dalaman negara kerana setiap perbelanjaan yang dibelanjakan penerima bantuan itu, sampai kepada pemain industri (barangan keperluan) tempatan.

"Sebab itu pembangkang akan kekalkan BR1M jika mereka memerintah kerana ia menjadi kelebihan kepada mana-mana parti politik untuk memenangi hati rakyat," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata pemberian BR1M bukan sesuatu yang baharu kerana lebih 60 negara sudah melakukannya.

Beliau berkata, BR1M adalah inisiatif kerajaan untuk memastikan golongan yang memerlukan bantuan kewangan dapat dibantu secara langsung.

"Apa yang penting ialah memastikan inisiatif BR1M sentiasa ditambah baik mengikut keperluan semasa. Sebagai contoh, sudah ada ura-ura untuk memberi bantuan tambahan kepada golongan miskin bandar kerana mereka lebih tertekan dengan kos sara hidup yang tinggi berbanding miskin luar bandar.

"Selain itu, merujuk kenyataan Bank Negara baru-baru ini, kesinambungan kepada BR1M ialah bagaimana ia dapat menjadi mekanisme untuk mengeluarkan golongan berpendapatan rendah dari kelompok kemiskinan dan menjadi rakyat yang lebih

produktif," katanya.


Facebook Comment