Bomba panjat Gunung Singai bawa turun warga emas sakit - Randau Sarawak

Breaking

Wednesday, March 14, 2018

Bomba panjat Gunung Singai bawa turun warga emas sakit


BAU: Sepasukan anggota bomba dikerah mendaki Gunung Singai di sini, hari ini, bagi membawa turun seorang warga emas yang mengalami masalah kesihatan ketika melakukan ibadat di gunung berkenaan.

Lelaki berusia 65 tahun itu bersama 68 lagi penganut Kristian mendaki gunung berkenaan awal pagi ini untuk melakukan ibadat di gereja yang terletak di pertengahan gunung berkenaan.

Bagaimanapun, mangsa mengalami masalah kesihatan dan keadaannya yang agak lemah menyukarkannya untuk turun ke kaki gunung bagi mendapatkan rawatan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Nor Hisham Mohamad, berkata enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bau dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan jam 6.08 pagi.

Katanya, setiba di lokasi jam 6.39 pagi, anggota bomba segera memberikan rawatan awal dengan menstabilkan keadaan mangsa yang lemah.

"Mangsa dan isterinya kemudian dibawa turun untuk dihantar ke Hospital Bau bagi mendapatkan rawatan lanjut," katanya.

Nor Hisham berkata, 67 orang lagi daripada kumpulan pendaki itu masih meneruskan urusan ibadat.
BH

No comments:

Post a Comment