Bogel dalam pesawat, lelaki Bangladesh ditahan


PUTRAJAYA 4 Mac - Seorang lelaki warga Bangladesh menimbulkan kekecohan dalam pesawat apabila berbogel dan menyerang kru penerbangan ketika penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabang Kuala Lumpur (KLIA) ke Dhaka, Bangladesh malam semalam.

Menurut sumber, dalam kejadian tersebut suspek berusia 20 tahun yang merupakan seorang pelajar sebuah universiti swasta di Cyberjaya telah bertindak di luar kawalan dengan membuka pakaiannya dan berbogel dalam masa sama menonton filem lucah melalui komputer riba miliknya.

"Kejadian itu berlaku ketika pesawat berada pada ketinggian 10,000 kaki di udara. Pada mulanya, salah seorang kru penerbangan telah menasihati suspek yang dipercayai mengalami masalah mental supaya memakai semula pakaiannya dan suspek mematuhi arahan tersebut.

"Bagaimanapun, selepas beberapa ketika suspek pergi ke tandas sebelum bertindak luar kawalan dan cuba memeluk pula salah seorang pramugari," katanya di sini hari ini.

Sumber berkata, berikutan itu seorang pegawai penerbangan telah meminta suspek bertenang namun suspek telah berkelakuan lucah dan sekali lagi memeluk seorang premugari lain sebelum menjerit dan berkelakuan agresif.

"Untuk keselamatan, pegawai penerbangan itu telah mengikat suspek dan menghubungi pihak berkuasa bagi memaklumkan kejadian ini sebelum meneruskan perjalanan ke Dhaka.

"Setelah tiba di destinasi, laporan bertulis telah dibuat berhubung kejadian tersebut, dan perkara ini merupakan perjalanan yang mengerikan bagi pihak kru kabin dan penumpang," katanya.

Difahamkan, suspek kita berada dalam tahan pihak berkuasa Bangladesh sejurus penerbangan mendarat dan siasatan masih dijalankan.


Facebook Comment