Beruang Biru BN cabar Mahathir terjah siri jelajah 1MDB


Satu artikel yang diterbitkan dalam portal BN hari ini mencabar Tun Dr Mahathir Mohamad supaya membuat kejutan dengan hadir di siri jelajah 1MDB yang sedang diadakan bagi memberikan taklimat dan menjawab pelbagai soalan berkaitan firma pelaburan negara itu.

“Alangkah menariknya jika ketika program itu diadakan, pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN),  Mahathir boleh membuat kejutan dengan hadir ke program tersebut.

“Mahathir boleh datang tanpa jemputan pada majlis penerangan oleh Arul Kanda ini dengan membawa bersama-sama bukti dan tuduhannya terhadap 1MDB.

“Mahathir boleh cakap ‘depan-depan’ dengan Arul,” kata penulis yang menggunakan nama Beruang Biru di theRakyat, yang mendakwa ia sebagai portal rasmi PRU14 BN.

Menurut penulis, jika Mahathir sedia membuat kejutan di wacana Sinar Harian yang bertajuk “Adakah Tun M terlalu Tua untuk jadi PM?”, maka beliau boleh melakukan perkara sama pada program taklimat mengenai 1MDB oleh Arul Kanda.

“Mahathir boleh bertekak atau mempersoalkan jawapan Arul dan beliau boleh tunjukkan sekali bukti-bukti yang diperkatakan mengenai 1MDB selama ini.

“Bila sudah bertemu (dengan Arul Kanda), Mahathir tidak perlu lagi menggunakan alasan ‘saya dengar’ atau ‘saya diberitahu’ tatkala beliau menyerang 1MDB ataupun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak," katanya.

Selain itu, menurut penulis, Dr Mahathir boleh menyatakan sekali apakah tuduhan khusus terhadap perdana menteri mengenai 1MDB yang boleh dibawa ke mahkamah.

“Masalahnya selama ini pihak yang dituduh pula diminta mengemukakan bukti sedang mereka yang menuduh gagal membawa sebarang fakta, sebaliknya lebih bersandarkan spekulasi,” kata Beruang Biru.

Penulis itu mendakwa isu 1MDB telah dimainkan secara persepsi oleh Dr Mahathir dan penyokongnya seolah-olah amat mudah untuk wang beralih tangan.

Katanya, bagi mereka yang tidak tahu tentang urusan korporat sudah tentu akan mempercayai segala dakwaan itu dengan mudah.

“Seperti kata Arul Kanda, kesilapan membuat keputusan korporat (bad corporate decision) sememangnya ada tapi itu bukan satu jenayah.

“Cuba lihat kepada Proton, ia tersilap dalam urusannya selama 30 tahun dan sentiasa meminta bantuan dari kerajaan sehingga RM13 billion perlu disalurkan untuk membela Proton.

“Hanya menerusi isu 1MDB, ia dijadikan alat sabotaj oleh Mahathir untuk menjatuhkan Najib kerana beliau enggan menjadi ‘pak turut’ kepada Mahathir.

“Dalam hal ini, eloklah jika Mahathir dapat menghadirkan diri pada sesi penerangan mengenai 1MDB ini,” kata Beruang Biru sambil menambah ini tentunya menjadi sesuatu yang ditunggu-tunggu ramai.


Facebook Comment