Abang Johari Umum Hak Sarawak Yang Akan Dikembalikan Selasa Ini

SIBU, 4 Mac - Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan mengumumkan hak-hak Sarawak yang bakal diserahkan kembali oleh kerajaan persekutuan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA 1963) dan Perlembagaan Persekutuan pada Selasa ini di Kuching.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menyatakan persetujuan untuk mengembalikan hak-hak Sarawak yang terhakis atau terambil di bawah MA 1963 dan Perlembagaan Persekutuan.

"Saya akan umumkan hak-hak yang akan kita dapat balik dan menjadi hak-hak Sarawak. Saya tidak mahu umumkan di sini sekarang. Kalau nak dengar boleh datang ke Kuching.

"Saya berani melakukan semua ini kerana hanya kita boleh menentukan masa depan kita sendiri dan banyak pembangunan strategik akan dilakukan," katanya semasa berucap pada Malam Perpaduan bersempena sambutan Chap Goh Meh, di sini malam tadi.

Sementara itu, beliau berkata Sarawak perlu ada satu polisi baharu bagi melindungi kepentingan semua rakyat dan ini menuntut kerjasama erat parti-parti politiknya seperti Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak, Parti Demokratik Progresif dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) termasuk Parti Rakyat Bersatu (UPP) bagi menyalurkan suara rakyat.

BERNAMA


Facebook Comment