100 media Sarawak sertai taklimat, simulasi SPR - Randau Sarawak

Breaking

Thursday, March 15, 2018

100 media Sarawak sertai taklimat, simulasi SPR

KUCHING : Seramai 100 pengamal media daripada pelbagai agensi di negeri ini menyertai taklimat pilihan raya di Mini Studio Radio Televisyen Malaysia (RTM) Jalan P. Ramlee di sini, hari ini.

Taklimat selama tiga jam anjuran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu disampaikan dua Penolong Pengarah Akademi Pilihan Raya SPR, iaitu Aina Osman dan Amer Saufwan Morazuki.

Taklimat itu diadakan bagi memberi pendedahan mengenai tugas media sepanjang proses Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Pada masa sama, warga media yang hadir diberi peluang menyertai sesi simulasi hari pengundian bagi membuktikan ketelusan proses berkenaan.

Menurut Amer Saufwan, Sarawak merupakan lokasi kelima diadakan taklimat berkenaan selepas Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

"Selepas Sarawak, kita akan meneruskan program jelajah untuk taklimat sama di Sabah pada minggu depan, diikuti Perlis, Pulau Pinang dan Kedah.

"Walau bagaimanapun, tidak semua negeri diadakan taklimat ini kerana terpulang kepada SPR negeri untuk memohon mengadakannya," ujar beliau ketika ditemui pemberita selepas selesai sesi taklimat berkenaan.

Amer Saufwan berkata, taklimat seumpama itu memang biasa diadakan pada setiap kali menjelang pilihan raya bagi memberi pendedahan kepada media terutama wartawan dan jurugambar baru bekerja yang tiada pengalaman membuat liputan terhadap proses pilihan raya sebelum ini.   

Beliau berkata, hasil taklimat diberikan, semua media didapati faham terhadap tugas masing-masing semasa membuat liputan pilihan raya apabila belum pernah ada aduan atau laporan terhadap salah laku membabitkan petugas media setakat ini. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment