SARAWAK AKAN JADI NEGERI YANG KAYA DAN MEMBANGUN DENGAN ANEKA BUDAYA -TAIB MAHMUD - Randau Sarawak

Breaking

Sunday, February 25, 2018

SARAWAK AKAN JADI NEGERI YANG KAYA DAN MEMBANGUN DENGAN ANEKA BUDAYA -TAIB MAHMUD


KUCHING: Berbaju batik kuning, usia tampaknya tidak mengubah perwatakan dan aura Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud.
Menginjak 82 tahun pada 21 Mei akan datang, beliau nyata masih cergas dan bertenaga.
Malah beliau masih mampu menghadiri aktiviti ziarah Tahun Baharu Cina di seluruh negeri, sejak seminggu lalu. Hari ini Abdul Taib dan isteri, Toh Puan Ragad Kurdi Taib akan berada di Bintulu selama setengah hari.
Justeru tidak hairanlah khidmatnya pada minggu lalu disambung sepenggal lagi sebagai Yang di-Pertua Negeri. Beliau dilantik pada 1 Mac 2014 dan akan meneruskan khidmat sehingga 2022.
Malam tadi, dalam majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Persatuan Cina Muslim Sarawak (Macma), beliau memilih untuk menyampaikan amanat, sesuatu yang ‘bukan kelaziman’ untuk pemegang jawatan itu di negeri ini.
Beliau berdiri di atas rostrum lebih 25 minit, menyentuh tentang pentingnya perpaduan masyarakat majmuk di negeri ini terus dipertahan.
Abdul Taib percaya bahawa di bawah kepemimpinan Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg selaku Ketua Menteri, pembangunan negeri dan perpaduan rakyatnya akan terus dipertahan.
“Dan suara rakyat sekecil mana pun akan didengari.
Justeru beliau mencadangkan Macma terus cekal dalam menjaga kepentingan ahlinya.
“Hubungan antara kaum perlu dipulihara dan dihormati.
“Rakyat perlu sedar bahawa sikap yang mementingkan keharmonian akan menjadikan Sarawak dan Malaysia sebagai tempat yang lebih selamat dan selesa didiami,” katanya.
Memetik hadis nabi, ‘Tuntutlah ilmu sehingga ke negeri China’, Abdul Taib meminta semua pihak mempelajari bagaimana kerajaan China dapat hidup rukun damai di sebalik kepelbagaian etniknya.
“Malah pada waktu tersebut, pelbagai agama berkembang dan dianut bebas sehingga menarik perhatian pengembara Itali, Marco Polo,” tambahnya lagi.
Dengan pengalaman panjangnya sebagai Menteri dan Ketua Menteri Sarawak, dan pemerhatian panjangnya terhadap negeri ini, ketua negeri ini memiliki tafsir sendiri terhadap masa depan Sarawak.
“Sarawak akan menjadi negeri yang kaya dengan idea baharu serta membangun dengan aneka budaya.
“Ini akan menyumbang kepada masa depannya yang cerah,” tambahnya. –Sarawakvoice

No comments:

Post a Comment