Tadah otak anak dengan tangan


“Anak rebah depan saya.... dia renung saya tapi pandangannya kosong. Saya hanya mampu jerit minta tolong sambil tadah otaknya yang berkecai dengan kedua-dua belah tangan,."

Demikian antara detik tragis yang sempat dikongsikan M S Kasthuribai, 45, ibu kepada remaja lelaki yang meninggal dunia dipercayai ditimpa sebuah kerusi yang dibuang dari tingkat 21 Flat PPR Seri Pantai, malam tadi.

Kasthuribai berkata,  sebelum kejadian, dia keluar rumah untuk menemani Satiswaran membeli kad tambah nilai, namun tiada.

Menurutnya, anak bongsunya itu kemudiannya datang kepadanya secara berdepan di hadapan lif dan tanpa diduga sebuah kerusi tiba-tiba melayang dari atas dan jatuh tepat mengenai kepala mangsa sehingga terbelah.

Keadaan panik seketika setelah Kasthuribai tiba-tiba pengsan tidak sedarkan diri.

"Hari ini anak saya sudah tiada... Satiswaran menjadi mangsa kerakusan dan sikap bodoh orang lain yang mengambil mudah membaling kerusi yang sudah rosak tanpa mahu menghantarnya ke ruang sampah di bawah.

"Ini bukan soal  nyawa orang India. Bukan juga soal bangsa Melayu atau Cina tetapi kejadian ini melibatkan satu nyawa remaja yang  langsung tidak berdosa kerana kecuaian orang lain.

“Hari ini anak saya kena. Kalau esok lusa, anak orang lain atau sapa-sapa kena, kenapa tiada tindakan dalam hal ini? Sebelum ini pun sudah banyak kes baling barang berlaku, ada mangsa kena 16 jahitan, ada kena enam jahitan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya.


Facebook Comment