Sembunyikan mayat dalam but - Randau Sarawak

Breaking

Wednesday, January 10, 2018

Sembunyikan mayat dalam but






Kelakuan mencurigakan seorang lelaki merenung but kereta PROTON Iswara Aeroback miliknya membawa kepada penemuan mayat seorang remaja perempuan berusia 13 tahun yang dibunuhnya semalam.


Kejadian berlaku di kawasan semak di Kuala Baram di sini jam 5.55 petang yang menarik perhatian dua anggota polis dari Unit Kereta Peronda (MPV) dipandu Koperal Mohd Izwan Jamaludin dan bersama rakan setugas, Koperal Eddy Abdullah yang melakukan rondaan rutin di lokasi berkenan.

Sejurus menyedari  kehadiran polis, suspek bergegas menutup but keretanya lalu memecut meninggalkan kawasan terbabit dan cuba meloloskan diri.

Curiga dengan keadaan itu, dua anggota dari MPV Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Miri bertindak mengejar suspek sejauh lima kilometer sebelum berjaya menahannya.

Hasil pemeriksaan lanjut kemudian membawa kepada penemuan mayat seorang remaja perempuan, yang juga pelajar di sebuah sekolah menengah di bandar raya ini, disembunyikan dalam but kereta suspek.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar ketika mengesahkan kejadian sebentar tadi memaklumkan suspek dipercayai cuba membuang mayat mangsa di kawasan semak berkenaan.

"Pemeriksaan dijalankan dan disahkan perempuan itu meninggal dunia. Suspek iaitu pekerja kedai perabot berusia 33 tahun berasal dari Kuala Lumpur terus ditangkap," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati bahawa suspek adalah teman lelaki kepada ibu mangsa dan tinggal bersama ibu mangsa, kakak dan mangsa di sebuah rumah sewa di Permyjaya, Miri.

Difahamkan ibu mangsa keluar bekerja dan kakak mangsa pergi ke sekolah meninggalkan suspek dan mangsa sahaja di rumah.

Pada jam 11 pagi, berlaku pertengkaran antara suspek dan mangsa di mana suspek dipercayai mencekik mangsa sehingga mangsa mati. Punca kejadian masih disiasat.

No comments:

Post a Comment