Pakatan Harapan Sarawak yakin menang 10 kerusi untuk tubuh kerajaan



Chong Chieng Jen semalam menzahirkan keyakinannya bahawa Pakatan Harapan (PH) dapat menumbangkan Barisan Nasional (BN) jika pakatan itu dapat memenangi sepuluh kerusi di negeri ini.
Pengerusi PH itu berkata, jumlah tersebut lebih daripada mencukupi untuk menawan Putrajaya.
Chong yang juga pengerusi DAP negeri dan Ahli Parlimen Bandar Kuching, dalam satu sidang media di sini semalam seperti dipetik media tempatan hari ini, menyatakan keyakinannya bukan sahaja untuk mempertahankan enam kerusi yang dimenanginya pada pilihan raya umum lalu, malah, yakin memenangi sepuluh kerusi.
Pada PRU lalu, DAP yang bertanding di 11 kerusi memenangi lima kerusi, iaitu Bandar Kuching, Stampin, Sarikei, Sibu, dan Lanang, manakala  Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bertanding di 15 kerusi hanya menenangi Miri.
Lima kerusi yang ditandingi Pas dalam PRU lalu bakal diserahkan kepada Amanah, iaitu Kota Samarahan, Batang Sadong, Tanjung manis, Igan dan Sibuti.
Seperti nasib yang dialami Pas pada PRU-13, penganalisis politik percaya bahawa Amanah juga dijangka tidak memenangi sebarang kerusi kerana semua kerusi itu merupakan kubu kuat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
Chong yang juga Adun Kota Sentosa dipetik sebagai berkata, daripada 165 yang bakal ditandingi Pakatan Harapan di Semenanjung, ia dijangka dapat menawan 100 kerusi.
Sebanyak 222 kerusi Parlimen bakal ditandingi dalam PRU-14.
Untuk PRU-14, bagi Semenanjung, sebanyak 52 kerusi akan diberi kepada Bersatu, 51 kerusi kepada PKR, DAP 35 kerusi, dan Amanah 27 kerusi.
Keputusan itu dibuat pada perhimpunan  Pakatan Harapan di Shah Alam awal bulan ini.

Facebook Comment