Kes Terowong Pulau Pinang: SPRM teliti unsur rasuah dalam pemberian kerja kajian reka bentuk dan kebolehlaksanaan


Habislah Tokong..

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan menyelidiki sekiranya wang itu disalahgunakan daripada kajian kebolehlaksanaan yang diberikan untuk projek terowong bawah laut Pulau Pinang.

Memetik sumber yang tidak dinamakan mengatakan bahawa SPRM sedang meneliti jika terdapat unsur "kepentingan korporat" dalam bagaimana kontrak untuk kajian kemungkinan projek itu dianugerahkan.



 ***********

Bayar hampir 4 kali ganda

Pakar projek terowong dedahkan bayaran kajian reka bentuk dan kebolehlaksanaan empat projek sangat tinggi, meragukan Kos kajian sepatutnya RM70 juta hingga RM80 juta berbanding RM305 juta dibayar kerajaan negeri guna dua lot tanah

Kos kajian pelaksanaan projek terowong dasar laut dan tiga lebuh raya di Pulau Pinang sepatutnya hanya RM70 juta hingga RM80 juta, berbanding RM305 juta dibayar kerajaan negeri menggunakan dua lot tanah.

Seorang pakar perunding projek terowong yang enggan identitinya didedahkan berkata, RM305 juta yang dibayar dalam bentuk pemberian dua lot tanah untuk kajian reka bentuk dan kebolehlaksanaan keempat-empat projek itu oleh kerajaan Pulau Pinang adalah sangat tinggi dan menimbulkan keraguan.

“Jika betul kerajaan negeri bersetuju dengan bayaran RM305 juta yang dituntut oleh syarikat perunding, maka SPRM perlu meneliti setiap maklumat dan menyiasat secara terperinci jumlah pembayaran itu.

“Adalah wajar untuk SPRM mendapatkan pandangan dan khidmat nasihat pakar bagi meneliti nilai sebenar kajian itu,” katanya.

Beliau khuatir kerajaan DAP Pulau Pinang sebenarnya bukan berminat sangat untuk membuat kajian kebolehlaksanaan terowong, sebaliknya ia hanya alasan untuk menganugerahkan dua lot tanah itu kepada syarikat perunding terbabit.

“Saya sokong SPRM menyiasat kes ini kerana ada kemungkinan wujud unsur penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa dalam penganugerahan projek itu,” katanya kepada BH.

Sementara itu, sumber SPRM mengesahkan siasatan agensi itu ketika ini juga menjurus kepada jumlah bayaran dibuat kerajaan Pulau Pinang untuk kajian projek mega itu dan bukannya soal pembinaan terowong berkenaan.

“Kita menerima maklumat wujudnya penyelewengan dalam pemberian projek kajian itu dan sedang meneliti sama ada wujud unsur rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.

BH turut difahamkan, SPRM masih dalam proses mendapatkan dan meneliti dokumen di beberapa syarikat dan agensi di Pulau Pinang dan Lembah Klang bagi melengkapkan siasatan.

Setakat ini, agensi itu sudah menyerbu 36 lokasi, termasuk syarikat perunding terbabit dan lapan agensi kerajaan serta merampas beribu dokumen bagi membantu siasatan.

60 saksi bantu siasatan

Sehingga semalam, 60 saksi sudah dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes dan lebih ramai dijangka disoal siasat dalam masa terdekat.

Dua individu bergelar ‘Datuk’ masih ditahan reman bagi membantu siasatan SPRM.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi semalam, enggan mengulas mengenai hasil siasatan kerana ia masih berterusan dan meminta semua pihak memberikan kerjasama.

“Bantu kami dengan memberi maklumat. Jangan buat sebarang spekulasi atau kenyataan yang boleh mengelirukan orang ramai,” katanya.

Isu projek terowong dasar laut oleh kerajaan Pulau Pinang timbul selepas Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Huan Cheng Guan membuat aduan kepada SPRM, minggu lalu, supaya menyiasat sama ada wujud unsur rasuah dan salah guna kuasa dalam pembidaan projek itu.

Ada juga dakwaan kos RM305 juta untuk kajian projek itu sangat tinggi, selain pembayaran secara kaedah 'land swap' iaitu pembayaran menggunakan dua lot tanah bernilai tinggi.

Baru-baru ini, kerajaan DAP Pulau Pinang memperincikan perbelanjaan bagi kajian bagi projek tiga lebuh raya adalah sebanyak RM208.75 juta, iaitu kajian kebolehlaksanaan bernilai RM31.27 juta dan kajian reka bentuk terperinci (RM177.49 juta).

Tiga lebuh raya itu adalah laluan Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu sepanjang 5.7 kilometer (km); laluan Tanjung Bungah ke Teluk Bahang (10.53 km) dan Persiaran Gurney ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu (4.1 km).

Kerajaan negeri juga menjelaskan kos kedua-dua kajian sama bagi projek terowong dasar laut adalah sebanyak RM96.25 juta, iaitu RM20 juta untuk kajian kebolehlaksanaan dan kajian reka bentuk terperinci (RM72.25 juta).

Terowong dasar laut sepanjang 7.2km akan menghubungkan Persiaran Gurney di bahagian pulau dengan Bagan Ajam di Seberang Perai Utara dan pembinaannya dijadual bermula pada 2023.




*******

https://www.pressreader.com/malaysia/berita-harian5831/20180118/281496456695593

Author:

Facebook Comment