Kes Terowong P Pinang: Datuk Seri Direman Lima Hari - Randau Sarawak

Breaking

Thursday, January 25, 2018

Kes Terowong P Pinang: Datuk Seri Direman Lima Hari

PUTRAJAYA: Seorang pengerusi syarikat perunding kejuruteraan bergelar Datuk Seri direman lima hari bagi membantu siasatan berhubung projek pembinaan terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Perintah reman bermula hari ini itu dikeluarkan oleh Majistret Ainna Sherina Saipolamin di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini.

Lelaki berumur 62 tahun itu dipercayai terbabit dalam penyediaan dokumen tuntutan palsu bagi kajian kebolehlaksanaan tiga jalan utama dan terowong di negeri berkenaan yang bernilai lebih RM305 juta kepada kerajaan negeri Pulau Pinang.

Suspek ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, kira-kira 2.44 petang Rabu.

Difahamkan, firma kejuruteraan suspek yang berpangkalan di Kuala Lumpur pernah terbabit dalam pelbagai projek mega, antaranya pembinaan sebuah jambatan di Pulau Pinang, terminal bas di ibu negara dan menaik taraf sebuah lapangan terbang negeri.

Penahanan suspek menjadikan seramai empat individu telah ditahan SPRM setakat ini bagi membantu siasatan projek berkenaan.Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2 kilometer yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai dan tiga jalan utama itu dianugerahkan kepada Consortium Zenith Construction, yang terdiri daripada beberapa syarikat.

Sebelum ini, projek itu mencetuskan pelbagai kontroversi antaranya berhubung kos kajian kebolehlaksanaan yang terlalu tinggi selain kaedah pembayaran melibatkan pertukaran tanah kerajaan negeri serta pelaksanaannya dibantah penduduk negeri yang bimbang dengan impak ekonomi, sosial dan alam sekitar.- Bernama



No comments:

Post a Comment