Kes rogol gadis 12 tahun disebut lanjut 2 Feb 2018. - Randau Sarawak

Breaking

Wednesday, January 24, 2018

Kes rogol gadis 12 tahun disebut lanjut 2 Feb 2018.


MIRI: Mahkamah Sesyen menetapkan 2 Februari depan untuk sebutan lanjut kes seorang ahli perniagaan terkemuka bergelar Dato yang dituduh merogol seorang budak perempuan berusia 12 tahun dan seorang ibu ayam yang dituduh melacurkan kanakkanak terbabit.
Hakim Steve Ritikos turut memerintahkan agar tarikh perbicaraan iaitu pada 5 hingga 9 Mac depan yang ditetapkan sebelum ini dikekalkan.
Tertuduh pertama, 82, dari Piasau Jaya Fasa 1 di sini, didakwa mengikut Seksyen 376 (2) (D) Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tidak kurang dari 10 tahun serta tidak melebihi 30 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh pertama dituduh merogol seorang budak perempuan berusia 12 tahun dan 11 bulan.Dia didakwa melakukan kesalahan itu jam 12.40pagi, 31 Ogos lalu di bilik hotel bajet di Taman Jade Manis di sini.Selain itu, tertuduh pertama turut menghadapi satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan kerana didakwa merogol budak perempuan yang sama.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 8 malam, 11 September lalu di bilik hotel bajet di Jalan Masjid di sini.Seksyen 376 (1) memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Manakala tertuduh kedua, 31, dari Kampung Lereng Bukit di sini menghadapi satu pertuduhan mengikut Seksyen 372 (1) (d) Kanun Keseksaan dan dua tuduhan di bawah Seksyen 372 (1) (a) kanun sama yang masingmasingnya memperuntukkan hukuman penjara 15 tahun dan sebat serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan tuduhan pertama, tertuduh kedua didakwa secara salah mengurung seorang budak perempuan berusia 12 tahun dan 11 bulan dengan niat untuk dilacurkan kepada tertuduh pertama.Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 12 pagi, 31 Ogos lalu di sebuah bilik hotel bajet di Jalan Cressandra di sini.
Manakala dalam tuduhan kedua dan ketiga, tertuduh kedua didakwa menjual budak perempuan yang sama untuk tujuan pelacuran kepada tertuduh pertama.Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh kedua pada jam 12.40 pagi, 31 Ogos lalu di sebuah bilik hotel bajet di Taman Jade Manis di sini dan jam 8 malam, 11 September lalu di sebuah bilik hotel bajet di Jalan Masjid di sini.Kedua-dua tertuduh kemudian dibenarkan dibebas dengan jaminan lanjut masing- masing RM15,000 berserta dua penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.
BP

No comments:

Post a Comment