Polisi Negeri Pembangkang Punca Kos Hidup Naik, Kata Pegawai Khas PM - Randau Sarawak

Breaking

Monday, December 25, 2017

Polisi Negeri Pembangkang Punca Kos Hidup Naik, Kata Pegawai Khas PM



Punca kenaikan kos sara hidup tinggi di bandar-bandar besar didakwa berpunca daripada polisi kerajaan negeri diperintah pembangkang sejak 2008.

Pegawai Khas Perdana Menteri, Isham Jalil berkata kenaikan kos sara hidup yang dialami terutamanya kepada masyarakat kawasan urban juga mendorong kepada peningkatan harga rumah, hartanah dan premis di Selangor  dan Pulau Pinang.

“Kita kena lihat kenaikan ini berlaku secara mendadak di antara tahun 2008 ke 2011, tiga tahun mendadak, naik terus.

“Sebab apa yang berlaku dalam tiga tahun itu, ia sejajar dengan kos kenaikan harga rumah dan hartanah dan juga harga premis-premis perniagaan.

“Sebagai contoh di Selangor pada tahun 2008, bila kerajaan pakatan ambil alih, pertama dia tingkatkan hasil pendapatan kerajaan ditingkatkan pada ketika itu dan kemudian naikkan cukai-cukai yang melibatkan cukai hartanah,” katanya dalam program Ruang Bicara anjuran Bernama News Channel (BNC), pada Isnin.

Selangor dan Pulau Pinang ditawan pembangkang sejak 2008 dan pada ketika ini, Datuk Seri Azmin Ali dan Lim Guan Eng mengetuai negeri berkenaan.

Pada masa sama, Isham memberi penekannan bahawa perlaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan pada tahun 2015 tidak menaikkan kos sara hidup, sebaliknya ia berpunca daripada manipulasi mendadak nilai hartanah dan juga premis perniagaan.

“Kita kaji kenaikan kos sara hidup meningkat secara mendadak bila dan di mana ia berlaku, dan apa faktor yang mendorongnya.

“Tentulah kalau gaji kita RM2,000, kita kena bayar ansuran atau sewa rumah dan itu kos yang paling besar, bukannya benda-benda lain. Kita bayar kos rumah dulu.

“Dan kalau kita menjalankan perniagaan juga, kita menjual mee goreng, dulu saya pergi  perjumpaan peniaga Cina di Bandar Utama, saya diberitahu harga RM10 untuk sepinggan mee goreng,  kita bayar GST 60 sen tapi kos perniagaan premis itu lebih besar daripada itu mungkin RM2 ke RM3. Jadi ini meningkatkan harga jualan,” jelasnya.

Dakwaan Isham ini ada kebenarannya kerana kutipan hasil kerajaan Selangor banyak bergantung kepada cukai-cukai hartanah dan premis yang dikenakan tinggi dan sudah pun diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada Bajet 2018 negeri itu pada November lalu.

“Ada sesetengah tempat sampai 300 peratus naik, jadi cukai ini masa zaman BN perintah cukai-cukai hartanah ini tak setinggi itu.

“Sebelum ini Menteri Besar Selangor umumkan RM3 bilon pendapatan kerajaan negeri  dan 81 peratus daripada hasil datang daripada cukai yang melibatkan hartanah dan kos-kos perumahan negeri.

“Jadi ini yang telah mendorong kenaikan kos sara hidup terutamanya di bandar-bandar ini,” jelasnya.

Menurutnya lagi, pakatan pembangkang sengaja mengalihkan perhatian masyarakat dengan menyalahkan GST sebagai punca kos peningkatan kos sara hidup sedangkan peningkatan ini sebenarnya berpunca daripada dasar mereka sendiri.

“Ada orang kata sebab tahun 2008 harga minyak ketika itu minyak dunia naik sampai 120 dollar setong, tapi jika kita ingat pada bulan September 2008 kita telah menurunkan harga minyak sebanyak enam kali  dalam tempoh setengah tahun. Harga minyak telah stabil pada 2009, turun balik tetapi harga rumah tetap naik

“Dan ada orang kata kos binaan tetapi pada 2009 harga kos binaan juga turun, dan ini juga bukan kos binaan, bukan minyak dan jadi apa dia sebenanrya?

“Sebenarnya kos sara hidup, kos harga rumah ini terus menaik dan terutamanya yang paling besar peningkatannya di Selangor dan Pulau Pinang. Kenaikan mendadak berlaku di antara tahun 2008 dan 2011 dan pada ketika itu GST belum pun dilaksanakan,” tegasnya.



No comments:

Post a Comment